Noh Omar Letak Jawatan Ahli MPT Bersatu, Persoal Tindakan Lembaga Disiplin

Cyberjaya – Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Noh Omar hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada badan tertinggi parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Lembaga Disiplin parti yang didakwa meneruskan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli walaupun MPT sebelum ini memutuskan supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat MPT yang diadakan pada Januari lalu, dan sepatutnya dihormati semua pihak termasuk Lembaga Disiplin.

“Persoalannya, yang mana lebih berkuasa? Lembaga disiplin atau Majlis Pimpinan Tertinggi? Apa guna MPT bermesyuarat jika keputusannya tidak dihormati?” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa MPT sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Pengukuhan Parti yang dipengerusikan oleh Rais Yatim bagi merangka usaha memulihkan perpaduan dalaman parti.

Namun, sebelum pelan pengukuhan itu dilaksanakan, Lembaga Disiplin didakwa telah mengambil tindakan terhadap beberapa ahli, termasuk yang membuat kenyataan sebelum keputusan penangguhan disiplin dibuat.

Tegasnya, tindakan disiplin hanya wajar dikenakan kepada mana-mana ahli yang melanggar arahan selepas keputusan MPT dibuat, bukan secara retrospektif.

“Saya berpegang kepada prinsip ‘nobody above the law’. Semua pihak tertakluk kepada perlembagaan dan peraturan parti,” katanya.

Beliau turut mengimbas pengalamannya ketika bersama United Malays National Organisation (UMNO), dengan menyatakan prinsip yang sama dipegang apabila berdepan tindakan disiplin sebelum ini.

Dalam kenyataan itu juga, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat sebagai ahli MPT.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak melihat keperluan untuk terus kekal dalam MPT sekiranya keputusan badan tertinggi parti tidak dihormati.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat