CYBERJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meluncurkan Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030 sebagai langkah memperkukuh institusi kekeluargaan demi kestabilan sosial dan masa depan negara.
Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi beliau, Anwar menegaskan bahawa kesejahteraan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui angka pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal.
“Negara boleh mencatat prestasi terbaik di ASEAN, ringgit boleh mengukuh, tetapi jika keluarga rapuh, masyarakat akan tetap goyah,” katanya.
Menurut beliau, keluarga merupakan unit asas dalam pembentukan sahsiah dan nilai, justeru pengukuhan institusi itu menjadi keutamaan kerajaan dalam membina masyarakat yang berdaya tahan menghadapi cabaran sosial dan ekonomi.
DKKN digarap sebagai kerangka dasar sosial yang komprehensif berpaksikan nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni. Pendekatan tersebut merangkumi keseluruhan kitaran hayat keluarga — daripada perkahwinan sehingga kepada pengurusan konflik.
Anwar turut menekankan bahawa dasar itu bersifat inklusif dan responsif terhadap realiti semasa, termasuk menangani cabaran yang dihadapi keluarga rentan supaya tiada golongan yang tercicir daripada arus pemerkasaan.
Seiring pelaksanaan dasar berkenaan, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) diteruskan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi melindungi isi rumah yang layak daripada musibah tidak dijangka.
Menurut beliau, institusi kekeluargaan bukan sahaja perlu dilindungi, malah diperkasa sebagai asas kestabilan sosial dan pembangunan negara dalam jangka panjang.



