Radzi Jidin dan Ahmad Faizal jalankan tugas Timbalan Presiden, tindakan disiplin selamatkan Bersatu – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,– Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden parti susulan tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa pemimpin kanan.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikannya hari ini, yang turut membincangkan langkah memperkukuhkan parti selepas kemelut disiplin dalaman.

Menurut beliau, tindakan disiplin tersebut merupakan sebahagian daripada mekanisme yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti bagi memastikan kestabilan dan kekuatan Bersatu, dan bukan keputusan yang dibuat secara sewenang-wenangnya.

“Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh. Ia bukanlah suatu tindakan yang diambil secara sewenang-wenangnya terutamanya apabila melibatkan pemimpin kanan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga pengasas Bersatu berkata, sebelum tindakan disiplin diambil, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mencari titik perdamaian, termasuk melalui siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak yang terlibat, namun usaha tersebut tidak berhasil.

Beliau turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang berterusan melakukan sabotaj dalaman dengan tujuan memecah-belahkan parti dan menggagalkan perjuangan Bersatu.

“Malah terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan untuk memecah-belahkan parti dan menggagalkan matlamat perjuangan parti,” katanya.

Muhyiddin menegaskan sebagai Presiden dan pengasas parti, beliau mempunyai tanggungjawab memastikan Bersatu kekal kukuh dan berada di landasan perjuangan asal, serta tidak akan membiarkan parti dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selama ini beliau mengambil pendekatan berhemah dan memberi ruang kepada pelbagai pihak, termasuk melantik individu yang diketahui menentangnya ke dalam barisan kepimpinan, demi memastikan perpaduan parti terpelihara.

Namun, menurutnya, tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus berlaku, dan jika dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli-ahli yang setia.

Sehubungan itu, beliau berkata kepimpinan parti bersepakat bahawa tindakan disiplin perlu dilaksanakan sebagai langkah terbaik untuk memulihkan perpaduan dan menyelamatkan Bersatu.

“Maka, Mesyuarat Khas MPT Bersatu pada hari ini bersepakat untuk terus mendokong perjuangan Bersatu, membina semula parti, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli dan memperkuatkan parti untuk menghadapi PRU-16,” katanya.

Dalam masa sama, Muhyiddin menyeru semua ahli Bersatu supaya kekal tenang dan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan parti dalam usaha mengembalikan parti ke landasan perjuangannya.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan ahli-ahli, Bersatu mampu mengharungi cabaran semasa dan terus memperjuangkan nasib rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat