Bersatu Melaka mahu Hamzah ganti Muhyiddin, sifatkan lebih mesra rakyat, berjiwa patriotik

KUALA LUMPUR – Bersatu wajar diberikan nafas baru melalui penggantian pucuk pimpinan kepada barisan kepimpinan yang lebih dinamik, berintegriti, mesra rakyat, berwawasan serta berjiwa patriotik, di bawah teraju Timbalan Presiden,Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Negeri Melaka yang dipimpin Tan Sri Rahim Tamby Chik dalam kenyataan bersama, berpendirian bahawa Bersatu memerlukan pembaharuan menyeluruh serta penstrukturan semula di peringkat pucuk pimpinan demi memastikan kelangsungan dan kekuatan perjuangan parti.

“Kami melihat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden dalam menangani kemelut dalaman parti telah mewujudkan persepsi negatif yang semakin melebar dalam kalangan ahli serta rakyat.

“Situasi ini secara langsung menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan menjadikan prestasi perjuangan Bersatu kelihatan hambar serta rapuh.

“Tindakan Lembaga Disiplin yang mengenakan hukuman keras sehingga mengakibatkan kehilangan beberapa tokoh pimpinan berpotensi memberi kesan besar kepada kekuatan parti,” kata mereka dalam kenyataan itu pada Jumaat.

Selain itu katanya, Presiden Bersatu juga dilihat terdesak menggunakan saluran disiplin sebagai instrumen membungkam suara kritikal dalam parti.

Ujar mereka, keadaan ini menimbulkan kegusaran apabila ahli semakin merasakan hak bersuara demi kebaikan parti semakin terhakis.

Bukan cuma itu pimpinan Bersatu Melaka juga menyifatkan, hubungan antara pimpinan parti komponen, khususnya Pas, juga dilihat semakin tidak harmoni.

“Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin gagal mengurus kemelut di Perlis secara bijaksana sehingga menjadi titik penting keretakan hubungan antara kedua-dua parti.

“Lebih membimbangkan, tindakan membiarkan pimpinan lantikan menyerang parti komponen secara terbuka bukan sahaja mencerminkan kelemahan pengurusan politik, malah bertentangan dengan semangat persefahaman dan kesepaduan dalam PN.

“Akauntabiliti kepimpinan beliau sebagai Pengerusi PN sekali lagi dipersoalkan apabila wujud kenyataan bercanggah berhubung isu pemansuhan jawatan Pengerusi PN, yang kemudiannya dinafikan secara terbuka oleh Pas.

“Sehingga kini, selepas lebih sebulan beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, mesyuarat Majlis Tertinggi PN masih gagal diadakan,” katanya.

Tambah mereka lagi, dalam tempoh kurang 2 tahun akan datang, negara bakal berhadapan dengan beberapa siri pilihan raya termasuk pilihan raya Negeri Melaka tahun ini.

“Bersatu dan PN memerlukan kepimpinan yang berwibawa, dinamik dan berupaya menyatukan semua pihak untuk mengemudi parti menuju kemenangan.

“Populariti semata-mata bukan ukuran utama untuk menerajui parti; yang lebih penting ialah kecekapan, kestabilan dan kemampuan strategik.

“Tambahan pula, bebanan pertuduhan jenayah yang sedang dihadapi Muhyiddin pasti menjadi liabiliti besar kepada imej parti. Situasi yang turut melibatkan ahli keluarga beliau menambahkan lagi tekanan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti. Tempoh perbicaraan yang panjang bermula Mac hingga Ogos tahun ini dijangka merumitkan gerak kerja serta persiapan parti menghadapi pilihan raya.

“Ketika parti-parti lain giat memperjuangkan isu rakyat dan menawarkan solusi terhadap permasalahan negara, Bersatu dilihat terlalu terperangkap dalam polemik dalaman.

“Parti semakin kehilangan hala tuju strategik, terputus daripada denyut nadi rakyat dan terperangkap dalam keghairahan dalaman yang berlebihan sehingga mengabaikan agenda perjuangan yang lebih besar,” keluhnya.

Menurut kenyataan itu lagi, pendirian ini dibuat dengan penuh tanggungjawab demi kelangsungan Bersatu, kestabilan PN serta masa depan perjuangan yang lebih diyakini oleh ahli dan rakyat.

Kenyataan bersama itu disepakati:

Tan Sri Rahim Tamby Chik – Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka (Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah)

Dr Mohd Yadzil Yaakub -Ketua Bahagian Bersatu Jasin

Ramlan Meon -Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu

Jeffri Ibrahim (Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya)

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat