KUANTAN,— Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan baharu Medan Selera MADANI di Anjung Selera Taman Cenderawasih, Indera Mahkota.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, kelulusan itu diumumkan ketika lawatan Menteri KPKT, Nga Kor Ming ke Parlimen Indera Mahkota sempena program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Negeri Pahang.
Menurut beliau, dalam rangka lawatan ke Anjung Selera Taman Cenderawasih, pihaknya telah menyuarakan permohonan para penjaja dan pengunjung yang menginginkan kemudahan anjung selera yang lebih selesa dan berwajah baharu.
“Alhamdulillah, YB Menteri bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina baharu Medan Selera MADANI di Taman Cenderawasih.
“Medan selera yang dirangka merangkumi surau, anjung selera serta tandas berkonsepkan BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Farhan merakamkan penghargaan kepada Menteri KPKT dan pihak kementerian atas kelulusan tersebut, yang disifatkan sebagai suntikan penting kepada pembangunan kemudahan awam di kawasan itu.
Beliau berharap pembinaan medan selera baharu itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah memberi sinar baharu kepada para peniaga kecil setempat serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi komuniti sekitar.



