KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyamakan perasuah sebagai ‘setitik nila’ yang mampu menghapuskan segala ikhtiar ikhlas dan gigih oleh ramai anggota yang terus berbakti dengan jujur dan amanah.
Anak sulung Perdana Menteri itu menjelaskan apakah Jawatankuasa khas Mengenai Rasuah termasuk peranan dan batasnya.
“Semalam saya menyentuh tentang keperluan kepada pemantauan yang lebih berkesan terhadap institusi pembanteras rasuah.
“Ingatlah setitik nila mampu menghapuskan segala ikhtiar ikhlas dan gigih oleh ramai anggota yang terus berbakti dengan jujur dan amanah. Nila sebeginilah yang perlu dikenal pasti dan disingkirkan.
“Bayangkan berapa sekolah, rumah rakyat PPR dan prasarana rakyat lainnya yang mampu dibina bila aliran berbilion duit rampasan diselamatkan.
“Kita mahu aliran duit rampasan jerung-jerung perasuah yang ditangkap dipantau dengan jelas dan jangan pula terkandas separuh jalan,” tegas Izzah.
Menurut bekas ahli Parlimen Lembah Pantai itu ramai yang mengingatkan bahawa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah sebenarnya sudah wujud.
“Ya, jawatankuasa ini memang wujud.
Namun, penting untuk memahami peranan dan batas fungsinya.
“Jawatankuasa ini bersifat nasihat, bukan badan bebas yang menjalankan fungsi pemantauan.
“Secara ringkas, tugasnya ialah – memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang isu rasuah di Malaysia; meneliti laporan tahunan SPRM.
“Juga menyemak ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah terhadap perjalanan SPRM; dan meminta penjelasan mengenai laporan dan ulasan tersebut,” ujarnya.
Namun kata Izzah, jawatankuasa ini tidak membentangkan laporan di Parlimen, tiada perbahasan terbuka, serta tiada kuasa untuk memanggil saksi atau membuat pendedahan.
“Bermakna, ia berfungsi di belakang tabir, dengan kuasa yang terhad dan bukan melalui semak imbang Parlimen yang telus dan terbuka kepada rakyat.
“Pengawasan yang berkesan bukan sekadar menasihati, tetapi mesti berlaku secara terbuka – di mana kuasa boleh dipersoalkan, keputusan boleh diteliti, dan institusi dipertanggungjawabkan,” jelas beliau.



