KUALA LUMPUR -Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin akan terlepas pendengaran Lembaga Disiplin esok kerana beliau kini berada di luar negara, menurut pembantunya.
Memetik FMT pada Rabu, Setiausaha Sulit beliau Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, Hamzah berada di Sydney, Australia, untuk membantu anak perempuannya mendaftar di universiti.
“Hamzah, yang sudah berada di luar negara, menerima notis pada 7 Februari dan segera memaklumkan kepada Lembaga Disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir,” katanya lapor portal itu.
“Beliau juga memaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) pada 4 Februari bahawa beliau tidak dapat menghadiri sesi Parlimen dari 5 hingga 13 Februari kerana urusan peribadi,” ujarnya.
Hamzah dipanggil hadir ke Lembaga Disiplin berikutan aduan yang mendakwa beliau cuba mensabotaj mesyuarat agung tahunan parti 2025 dan melemahkan kepimpinan parti.
Notis bertarikh 6 Februari menyatakan ia adalah panggilan kedua, selepas notis pertama dikeluarkan pada Oktober tahun lepas.
Lembaga Disiplin juga telah memanggil sekurang-kurangnya enam pemimpin Bersatu lain untuk hadir pada Khamis ini.



