KUALA LUMPUR – Kekuatan sesebuah parti politik tidak hanya diukur melalui kejayaan jangka pendek, tetapi melalui keupayaannya membina kepercayaan, mengurus perbezaan dan kekal konsisten dalam jangka panjang.
Bercakap mengenai krisis dalaman Bersatu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, perkembangan dalam Bersatu boleh difahami kerana parti ini masih baharu dan sedang melalui fasa membina struktur serta sokongan akar umbi.
“Fasa awal ini selalunya paling mencabar bagi mana-mana parti politik.
“Dalam pengalaman politik Malaysia, parti yang mampu bertahan biasanya mempunyai prinsip yang jelas, organisasi yang tersusun, dan sokongan yang dibina secara berperingkat.
“Parti-parti yang telah lama bertapak seperti Umno, Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga pernah melalui krisis dalaman dan kekalahan pilihan raya.
“Namun, parti-parti ini kekal relevan kerana berteraskan idea dan institusi, serta mampu menyesuaikan perjuangan dan pendekatan mereka mengikut perubahan suasana dan kehendak semasa rakyat,” kata Bendahari Umno Sabah itu.



