Menjelang pendengaran disiplin Hamzah Zainuddin Khamis ini, apa yang diketahui setakat ini?

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadualkan hadir ke prosiding Lembaga Disiplin parti Khamis ini, dalam apa yang dilihat sebagai kemuncak kepada krisis dalaman yang berlarutan hampir dua tahun.

Prosiding itu susulan empat aduan disiplin berasingan yang difailkan terhadap beliau pada 30 September 2025 dan 5 Februari 2026. Menurut notis panggilan, aduan tersebut mendakwa Hamzah gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang menyerang Presiden serta mencemarkan imej parti.

Beliau turut dikaitkan dengan perancangan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa bertujuan mempengaruhi ketetapan parti.

Selain itu, Hamzah juga didakwa mempunyai kaitan dengan kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 termasuk cubaan menggagalkan usul berkaitan kepimpinan Presiden.

Satu lagi aduan menyentuh dakwaan bahawa beliau mengadakan rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional tanpa mandat rasmi parti.

Pendengaran ini merupakan panggilan kali kedua selepas notis awal dikeluarkan pada Oktober tahun lalu, dan ia berlaku dalam suasana tekanan terbuka terhadap kepimpinan parti.

Krisis kepiminan Bersatu bermula Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023, bila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman akan berundur dari kepimpinan parti.

Namun pengumuman beliau ditolak menyebabkan berlaku konsensus tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Dalam pemilihan parti itu pada November 2024 Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding.

Dalam PAT Bersatu 2025 pula memutuskan Muhyiddin akan memimpin parti dalam PRU16.

Memasuki 2025, laporan mengenai dakwaan perebutan kuasa, pertemuan dengan pimpinan parti komponen serta cadangan Majlis Eksekutif PN semakin rancak.

Pada Julai 2025 terdapat gerakan Ketua-Ketua Bersatu Bahagian tertentu mengusulkan agar Hamzah mengambil alih kepimpinan parti.

Ogos dan September 2025 menjadi titik genting apabila dakwaan gerakan SD timbul, diikuti kekecohan semasa PAT 2025.

Kenyataan media 120 Ketua Bahagian mendesak Presiden berundur menambah lagi ketegangan, walaupun kemudiannya muncul percanggahan kenyataan sesama mereka.

Audio tular yang mengaitkan sokongan Presiden PAS terhadap Hamzah sebagai calon Perdana Menteri turut memperhebatkan polemik.

Oktober 2025 menyaksikan tindakan disiplin terhadap beberapa pimpinan termasuk pemecatan Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan beberapa individu lain. Sejak itu, siri podcast, sidang media dan serangan terbuka terhadap kepimpinan parti berterusan hingga akhir tahun.

Memasuki 2026, tekanan semakin memuncak apabila beberapa negeri menyerahkan memorandum mendesak tindakan terhadap Hamzah, manakala gesaan supaya Presiden berundur turut dilontarkan oleh pimpinan tertentu. Kenyataan balas daripada pimpinan pusat pula mempertahankan Presiden dan mempersoalkan peranan Timbalan Presiden dalam mengawal disiplin parti.

Prosiding Khamis ini kini dilihat sebagai titik penting yang boleh menentukan hala tuju parti menjelang PRU16 — sama ada ia berjaya meredakan krisis melalui mekanisme disiplin atau membuka fasa baharu pertembungan dalaman.

Setakat ini, Hamzah belum mengeluarkan kenyataan rasmi menjelang pendengaran tersebut.

*Kronologi*
FEBRUARI – JULAI 2024
24–25 Februari 2024
Retreat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU di Gopeng mencapai konsensus memberi kepercayaan kepada Presiden Pengasas mencadangkan pelan peralihan kepimpinan menjelang pemilihan parti 2024.
13 Julai 2024
Konvensyen BERSATU di Selayang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beliau kekal sebagai Presiden dan Hamzah sebagai Timbalan Presiden. Tiga Naib Presiden diumumkan iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Md Jidin. Datuk Seri Azmin Ali diumum sebagai Setiausaha Agung.
NOVEMBER 2024
2 November 2024
Pemilihan Parti BERSATU 2024 menyaksikan Muhyiddin kekal Presiden dan Hamzah Timbalan Presiden tanpa pertandingan. Naib Presiden dipilih: Ahmad Faizal Azumu, Radzi Md Jidin dan Ronald Kiandee. Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung.
30 November – 1 Disember 2024
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024 memutuskan Muhyiddin akan memimpin BERSATU memasuki PRU16.
DISEMBER 2024
26 November 2024
Laporan media menyebut tuntutan supaya jawatan Setiausaha Agung PN disandang Hamzah.
14 Disember 2024
Surat PAS mencadangkan penubuhan Majlis Eksekutif PN yang memberikan kuasa eksekutif kepada Timbalan Presiden parti komponen.
14 Disember 2024
Rencana media mula memainkan naratif rombakan kepimpinan PN.
FEBRUARI 2025
18 Februari 2025
Dakwaan pertemuan beberapa pemimpin PAS dengan Hamzah dan pimpinan BERSATU, dikaitkan dengan perbincangan calon Perdana Menteri.
MAC – MEI 2025
6 Mac 2025
Laporan sumber dalaman mendakwa wujud perebutan pengaruh dalam BERSATU berhubung peralihan kuasa.
10 April 2025
Isu rombakan struktur PN kembali dimainkan oleh penganalisis politik dan pimpinan tertentu.
18 April 2025
Dakwaan kononnya Presiden melangkaui Majlis Tertinggi dalam pelantikan parti dinafikan oleh kepimpinan pusat.
17 Mei 2025
Isu pelantikan Ketua Penerangan PN dibangkitkan dalam laporan media.
JUN – JULAI 2025
13–14 Jun 2025
Laporan menyebut cadangan rombakan struktur PN dan pemberian kuasa operasi lebih besar kepada Hamzah.
7 Julai 2025
Usul Bahagian Port Dickson menggesa Hamzah mengambil alih kepimpinan BERSATU.
Julai 2025
Dilaporkan berlaku rundingan tanpa mandat dengan presiden parti komponen PN bagi mengangkat semula cadangan Majlis Eksekutif PN dalam Mesyuarat MT PN.
Dakwaan perancangan “ambush” terhadap Presiden dalam mesyuarat MT PN turut timbul namun dibatalkan.
OGOS 2025
23 Ogos 2025
Gerakan mendapatkan tandatangan Ketua-Ketua Bahagian atau “Geng SD” dikesan di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Ogos 2025
Surat layang bertajuk “Si Kitol” dan “Broker” tersebar, mengaitkan gerakan dalaman mengubah struktur kepimpinan.
SEPTEMBER 2025
6 September 2025
PAT BERSATU 2025 menyaksikan kekecohan semasa ucapan dasar Presiden.
7 September 2025
Dakwaan arahan keluar dewan beramai-ramai ketika penggulungan Presiden.
8 September 2025
Kenyataan mendakwa 120 Ketua Bahagian mendesak Presiden berundur.
9 September 2025
Kenyataan bercanggah daripada beberapa negeri mengenai jumlah SD.
25 September 2025
Lembaga Disiplin menangguhkan prosiding terhadap Wan Saiful Wan Jan.
29–30 September 2025
Audio tular mengaitkan sokongan Presiden PAS terhadap Hamzah sebagai calon Perdana Menteri.
OKTOBER 2025
13 Oktober 2025
Wan Saiful dipecat, Wan Ahmad Fayhsal digantung, dan beberapa Ketua Bahagian dikenakan tindakan disiplin.
25–26 Oktober 2025
Program Jelajah Semarak menyerang kepimpinan Presiden.
NOVEMBER 2025
1 November 2025
Podcast dan kenyataan terbuka menyerang kepimpinan Presiden.
1 November 2025
16 Ahli Parlimen BERSATU menandatangani petisyen membantah tindakan disiplin.
18 November 2025
PRN Sabah menyaksikan beberapa tindakan disiplin terhadap pimpinan bahagian.
DISEMBER 2025
3 Disember 2025
Sidang media Geng SD Sabah.
9–28 Disember 2025
Serangan media sosial berterusan terhadap kepimpinan parti.
29 Disember 2025
Isu melibatkan PAS dan kepimpinan BERSATU kembali dimainkan.
JANUARI 2026
6 Januari 2026
Saifuddin Abdullah dipecat.
9 Januari 2026
Lembaga Disiplin memanggil Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen di Perak.
27 Januari 2026
Sidang media pimpinan Johor menggesa pertukaran Pengerusi Negeri.
31 Januari 2026
Kenyataan mendesak Lembaga Disiplin menyiasat Presiden; pimpinan pusat tampil menafikan tuduhan.
FEBRUARI 2026
2 Februari 2026
Kenyataan pimpinan Sabah mendesak Presiden berundur.
3 Februari 2026
Ketua Penerangan parti mencadangkan lebih wajar Hamzah berundur.
7 Februari 2026
Lembaga Disiplin memanggil empat Ketua Bahagian dan dua pemimpin Sabah.
8 Februari 2026
Notis kedua prosiding disiplin dikeluarkan kepada Hamzah.
9 Februari 2026
Memorandum Negeri Sembilan dan Perak mendesak pemecatan Hamzah.
10 Februari 2026
Ronald Kiandee menggesa Muhyiddin berundur; Pimpinan pusat dan sayap parti menyatakan Ronald yang lebih wajar bermuhasabah dan meletak jawatakan atas kegagalan di Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat