Sabah kini miliki 20% pegangan projek minyak dan gas PETRONAS di perairan negeri

KOTA KINABALU, 10 Februari 2026 — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan bahawa Sabah kini mempunyai pegangan sebanyak 20 peratus dalam projek minyak dan gas PETRONAS di perairan negeri itu.

Menurut beliau, perkembangan tersebut bermakna Sabah terlibat secara langsung dalam projek-projek berkaitan petroleum dan gas di perairannya, sekali gus membuka ruang kepada pulangan hasil yang lebih signifikan kepada negeri dan rakyat.

“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan negeri, mengukuhkan kedudukan ekonomi Sabah serta memastikan pengurusan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah, telus dan mampan untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pegangan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara SMJ Energy Sdn Bhd dan PETRONAS, yang menurut beliau mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan sektor tenaga Sabah secara lebih tersusun dan berdaya saing.

Hajiji berkata langkah itu juga selaras dengan agenda pembangunan negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya, yang memberi penekanan kepada pengukuhan hasil negeri serta penglibatan lebih aktif Sabah dalam industri strategik.

Beliau menegaskan bahawa manfaat daripada penglibatan ini bukan sahaja akan dirasai dalam bentuk peningkatan hasil negeri, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, pembangunan kepakaran tempatan dan pemindahan teknologi kepada rakyat Sabah.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan hasil sumber asli negeri dapat dimanfaatkan secara optimum untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya.

Pengumuman itu dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor minyak dan gas, yang selama ini menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat