KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil pendekatan penyelesaian yang berhemah, dengan memberi tempoh munasabah kepada pihak pengurusan rumah ibadat untuk mematuhi peraturan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran berkata, pendekatan itu bagi mengelakkan sebarang tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya, prinsip asasnya adalah jelas iaitu semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja atau kuil, tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan yang sama, khususnya berkaitan pemilikan dan kelulusan tanah.
“Penyelesaian perlu dicari melalui dialog, peraturan dan saluran sah, bukan melalui pertikaian atau konflik.
“Saya komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya, berpandukan prinsip keadilan, keharmonian antara kaum dan pengukuhan perpaduan nasional demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu susulan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara, yang menekankan keperluan memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional.
Dalam majlis itu, Anwar turut memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk ‘membersihkan’ rumah ibadat, termasuk kuil, yang sengaja dibina tanpa mengikut peraturan undang-undang.
Yuneswaran, berkata walaupun berdepan pelbagai dinamika politik serta perbezaan pandangan dalam masyarakat, hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tetap menerima bahawa negara ini mesti dibina di atas landasan yang betul, berteraskan persefahaman, saling menghormati dan perpaduan yang kukuh.
“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan dihormati, demi menjamin masa depan yang lebih makmur dan bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.



