Pakar Malaysia bantu perkasa masyarakat Desa Bondowoso melalui ekonomi digital

BONDOWOSO, JAWA TIMUR,— Program UNESA International Community Development (UICD) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 4 hingga 7 Februari di Pendopo Bondowoso, Ijen Geo Park, menyaksikan penglibatan aktif wakil Malaysia dalam usaha memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat desa melalui transformasi digital.

Program bertaraf antarabangsa anjuran LPPM Universitas Negeri Surabaya itu menghimpunkan pakar akademik, pemimpin komuniti dan penggerak pembangunan sosial dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Uzbekistan dan Australia.

Fokus utama UICD 2026 adalah pembangunan komuniti melalui latihan petani, penternakan, pemasaran digital serta pembangunan kemahiran ekonomi masyarakat desa — selari dengan agenda memperkasa ekonomi luar bandar berasaskan teknologi.

Malaysia diwakili oleh Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamed dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), pakar dalam teknologi pendidikan, pembangunan digital dan keusahawanan.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan penggunaan media sosial dan pasaran digital sebagai pemangkin pembangunan ekonomi desa. Dr. Ahmad berkongsi strategi praktikal untuk membantu masyarakat Bondowoso memanfaatkan platform digital bagi memasarkan produk tempatan, membina jenama komuniti serta meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Menjadi warga digital bukan sekadar menggunakan teknologi, tetapi memahami cara menggunakannya secara strategik, beretika dan berimpak ekonomi. Dengan kemahiran digital yang betul, masyarakat desa boleh menembusi pasaran lebih luas dan membina kelestarian ekonomi komuniti,” katanya.

Program tersebut dirasmikan oleh Bupati Bondowoso, KH. Abdul Hamid Wahid, yang menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkasa desa.

Menurut beliau, UICD 2026 bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah membuka ruang kolaborasi strategik jangka panjang antara institusi pengajian tinggi dan komuniti tempatan.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Menteri Koordinator Bidang Pemberdayaan Masyarakat Indonesia, Dr. (H.C.) H. Abdul Muhaimin Iskandar, serta Rektor Universitas Negeri Surabaya, Prof. Dr. Nurhasan.

Sepanjang program, peserta terlibat dalam sesi dialog strategik, bengkel literasi digital dan perbincangan projek kolaboratif masa depan termasuk latihan komuniti, penyelidikan bersama serta program pertukaran kepakaran antara universiti.

Penganjur menyifatkan penglibatan Malaysia melalui kepakaran Dr. Ahmad Sarji sebagai bukti komitmen rantau Asia dalam membina jambatan ilmu dan memperkasa masyarakat desa melalui inovasi teknologi.

UICD 2026 dilihat sebagai langkah signifikan dalam merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti berasaskan keusahawanan sosial dan transformasi digital yang inklusif.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat