KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
Sultan Ibrahim bertitah, budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam catatan Facebook baginda, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu.
“Kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
“Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengingatkan supaya kepemimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa.
Pada pertemuan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.



