Dakwaan Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tipu, niat jahat – Anwar beritahu setiap inci tanah dirunding, disepakati

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penentuan sempadan Malaysia-Indonesia tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal-balik atau untung-rugi seperti yang didakwa.

Sebaliknya jelas Anwar, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian.

“Pada 22 Januari 2026 terdapat laporan yang mendakwa Malaysia telah menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah dan Kalimantan iaitu Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas.

“Secara dasarnya pendirian kerajaan jelas tertakluk kepada undang-undang, perjanjian dan konvensyen yang berkuatkuasa.

“Dalam hal terkait persempadan semula dengan Indonesia, kita juga amat menghormati kesepakatan bersama sebagai negara sahabat di antara Malaysia dan Indonesia. Atas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Republik Indonesia adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian. Untuk keseluruhan Sabah dan Sarawak, konvensyen persempadanan antara kerajaan British dan Belanda, Boundary Convensyen 1891.

“Untuk Sabah, Perjanjian Persempadanan antara kerajaan British dan kerajaan Belanda, Boundary Agreement 1915 manakala untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda yang telah ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928, Boundary Convention 1928,” jelas beliau dalam sesi penerangan khas di Parlimen isu jajaran sempadan Malaysia- Indonesia pada Rabu.

Bagaimana penentuan jajaran persempadanan di kawasan Outstanding Boundary Problem (OPB) Sungai Sinapat, Sungai Sesai yang menjadi isu ketika ini adalah berdasarkan kepada Boundary Convention 1891 dan Boundary Agreement 1915.

Anwar menjelaskan, prinsip yang terkandung dalam perjanjian ini adalah penentuan kawasan berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di garis latitude 4 darjah 20 minit utara (4⁰ 20’U) iaitu di utara garis latitude 4 minit 20 utara (4⁰ 20’U), kawasan itu adalah di bawah British Sabah manakala di selatan garis latitude 4 minit 20, (4⁰ 20’U) utara, kawasan itu adalah di bawah Belanda, Indonesia.

“Kerja-kerja persempadanan dimulakan pada tahun 1977 bersama Indonesia dan Malaysia. Berdasarkan peta di dalam perjanjian tahun 1915, kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai berada di selatan garis latitude 4 minit 20 utara (4⁰ 20’U).

“Namun demikian hasil daripada pengukuran bersama yang didapati Sungai Sinapat sebenarnya bermuara di utara garis latitude 4 minit 20 (4⁰ 20’U), bukannya di selatan. Maka, pada pandangan Malaysia, semua lembangan sungai yang bermuara di utara garis latitude (4⁰ 20’U) tadi, adalah kepunyaan Malaysia.

“Kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara. Kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi,” kata Perdana Menteri.

Memperincikan perkara itu beliau menyatakan, jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia dan Indonesia dianggarkan sepanjang 2064km dan dibagikan kepada dua sektor.

“Sektor Sabah – Kalimantan Utara (KALTARA) dianggarkan sepanjang 419.4 km; dan Sektor Sarawak – Kalimantan Barat (KALBAR) dianggarkan sepanjang 1,644.6 km.

“Jadi, buat masa ini hanya pengukuran sempadan Sektor KALTARA telah dimuktamadkan yang melibatkan 2 OBP iaitu: OBP Pulau Sebatik; dan OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai dalam Kawasan OBP B2700 – B3100.

“Bagi Outstanding Border Problem OBP Pulau Sebatik, kerja kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula oleh pasukan ukur bersama kedua-dua negara telah dijalankan dari bulan Februari hingga November 2019.

“Hasil pengukuran yang diperolehi mendapati jarak muktamad dari East Pillar ke New West Pillar 23.842 km. Manakala bagi OPB, Sungai Sinapat dan Sungai Sesai, kerja siasatan, penandaan, pengukuran yang dibuat sekali di antara pegawai-pegawai pemetaan Indonesia dan Malaysia dilakukan sehingga Ogos 2022 dan Oktober 2023. Itu jarak muktamat 11,545 kilometer.

“Jadi proses pengukuran rundingan itu berjalan selama 47 tahun sejak 1977, diselesaikan secara berperingkat, tetapi pada hemat kita harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa sepertimana disebut,” jelas beliau lagi.

Dalam semua perundingan ini kata Anwar, kalau terkait dengan Sabah, seperti juga Sarawak, Wakil Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah, Jabatan Ukur Sabah, semua dilibatkan sepenuhnya.

“Setiap inci tanah dirundingkan, disepakati oleh Kerajaan Sabah sebelum dimuktamadkan dengan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

“Maka sebab itu, setelah ini dimuktamadkan baru dirujuk ke Mesyuarat Ke-45 Jawatankuasa Sempena Bersama Indonesia Malaysia (JIM-45) pada 18 Februari 2025.

“Melalui MoU tersebut, OBP Pulau Sebatik, keluasan Baharu yang diperoleh oleh Malaysia adalah sebanyak 0.05 km persegi bersamaan 5 hektar (12 ekar); dan OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai, Malaysia memperoleh Kawasan tambahan seluas 7.8 km persegi bersama 780 hektar (1,927 ekar).

“Keseluruhan kawasan pertikaian di OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai dalam kawasan OBP B2,700 dan B3,100 berjumlah 5,987 hektar dan kawasan ini sememangnya berada di kawasan pentadbiran Indonesia. Kalau lihat peta itu, kawasan yang daripada awal hak Indonesia, tetapi oleh kerana peta itu belum dimuktamadkan, kita tidak bersetuju.

“Tapi selama ini, sejak 1915, itu tidak dipertikai oleh semua Kerajaan Inggeris dan Kerajaan Malaysia sejak 1915. Ini yang dikatakan, walaupun pada faktanya tidak
dimuktamadkan kerana perjanjian itu tidak ditandatangani, walaupun ia menjadi milik dan di bawah pengelolaan Kerajaan Indonesia,” ujarnya.

Menurut beliau, sempadan di kawasan OPB berdasarkan prinsip yang terkandung.

“Sekali lagi saya tegaskan, pada perjanjian 1915 iaitu 780 hektar jadi milik Malaysia. Tetapi 780 hektar, itu keluasan tambahan bagi Malaysia. 5987 itu kekal di bawah milik Indonesia yang dimiliki oleh Indonesia sejak 1915.

“Jadi sebahagian kecil dari tiga-tiga kampung yang dikenali sebagai Kampung Kabulanggalo, Kampung Lepaga, Kampung Tetagas, dengan sendirinya termasuk ke kawasan Malaysia.

“Jadi, tiga-tiga itu dimasuk ke Sabah dakwaan berkenaan Malaysia menyerah seluas 5207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tidak niat jahat sama sekali.

“Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai belah itu adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita menjelaskan ia tidak kita sahkan tapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia,” jelas Anwar.

Perdana Menteri menyatakan, dalam rundingan seperti ini tentulah ada beberapa hal yang agak sensitif kerana dalam rundingan dengan Indonesia tidak semua yang sudah selesai.

“Umpamanya, isu 5 kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah Kalimantan Utara, 4 kawasan Outstanding Boundary Problem di sektor
Sarawak Kalimantan Barat yang masih dalam proses perundingan antara kedua-dua negara, maknanya belum dimuktamadkan.

“Sebab itu kenyataan-kenyataan kita harus berhati-hati dan berhemah kalau nak cari keuntungan politik sempit, bukan masanya bukan untuk korbankan kepentingan Malaysia, atau korbankan kepentingan hubungan baik di antara dua negara.

“Jadi saya nak jelaskan, sepertimana tohmahan sebelum ini, Ambalat, kita serahkan. Hal itu belum pun dimuktamadkan tetapi tohmahan daripada pembangkang sudah diserahkan, saya tidak tahu serah wilayah mana. Jadi sebab itu, harus kita rujuk kepada angka dan data dan ini, kita harus gunakan kesempatan ini juga mengucapkan penghargaan setingginya kerana orang, pegawai-pegawai kita Bahagian Hal Ehwal Persempadanan, disokong di bahagian Topografi, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Pemetaan, Kementerian Pertahanan, Tentera itu terpaksa meredah ke hutan belantara untuk memastikan peta itu dimuktamadkan,” ucap Anwar.

Jadi beliau berharap kalaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan tentera, belum kerana yang ada itu menghina, kenyataan biadab menghina.

“Apa yang tidak betul? Termasuk Pendang. Kalau tak tahu, baik. Kalau tak tahu, tanya. Kalau tak tahu, jangan maki hamun. Tak tahu, tanya.

“Jadi, inilah penjelasan saya. Lima lagi kawasan yang didakwa selesai, yang intertidal saya ingin bacakan, Sabah, Kalimantan Utara. Empat kawasan outstanding boundary problem di sektor Sarawak, Kalimantan Barat itu masih dalam proses perundingan antara kedua-dua negara.

“Jadi saya harap rakan-rakan Ahli Parlimen. Tan Sri Yang di-Pertua, saya kata ada kenyataan biadab, ada kenyataan yang menuduh saya khianat kepada negara. Ini yang kita kena betulkan.

“Hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan haruslah dibincang cara berhemah, saya tidak ada masalah mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat kepada negara.

“Jadi yang sebaiknya kerana saya telah bentangkan dengan fakta dan dengan peta, sebaiknya teliti semula ada bahagian yang belum dimuktamadkan, ada yang sudah,” jelas Perdana Menteri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat