FORTRAIN lahirkan 113 ‘Graduan Abad Ini’, perkukuh barisan hadapan kelestarian hutan negara

KEPONG — Seramai 113 graduan Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Pengawas Hutan Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan FORTRAIN ke-37 yang berlangsung di Bahagian Latihan Perhutanan, Kepong, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang menyifatkan kumpulan graduan kali ini sebagai ‘Graduan Abad Ini’, bersempena genap 100 tahun penubuhan FORTRAIN.

Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM20.8 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembinaan dua blok asrama baharu FORTRAIN, yang akan menyediakan kemudahan lebih kondusif kepada para pelatih.

“Kemudahan yang kondusif bukan sekadar memberi keselesaan, malah menyuntik inspirasi dan semangat kecemerlangan kepada para pelatih.

“Sebanyak RM20.8 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembinaan dua blok asrama baharu FORTRAIN yang menyediakan 98 bilik dan mampu menempatkan 196 pelatih pada satu-satu masa.

“Penyediaan kemudahan yang kondusif ini bukan sekadar memberi keselesaan, malah bertujuan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik, menyuntik inspirasi serta menyemai semangat kecemerlangan dalam diri setiap pelatih agar mereka dapat mengikuti latihan dengan lebih fokus, berdisiplin dan berdaya saing,” jelasnya.

Menurut beliau, kejayaan graduan hari ini melangkaui pencapaian akademik semata-mata.

“Anda bukan sekadar graduan biasa. Anda adalah Graduan Abad Ini yang akan melakar hala tuju baharu sektor perhutanan negara bagi tempoh 100 tahun akan datang,” katanya.

“Kejayaan ini adalah manifestasi disiplin, ketahanan fizikal dan mental, serta kesediaan saudara dan saudari untuk memikul amanah besar dalam melindungi dan mengurus khazanah hutan negara,” ujarnya.

Arthur berkata, FORTRAIN telah melahirkan 6,369 graduan Renjer dan Pengawas Hutan sejak penubuhannya, yang menjadi tunjang kepada kelestarian hutan negara.

“Apa yang membanggakan, kualiti latihan di FORTRAIN sentiasa ditambah baik supaya graduan bukan sahaja cekap di lapangan, malah mahir mengendalikan teknologi perhutanan moden dan aplikasi digital yang menjadi keperluan masa kini,” katanya.

Beliau menegaskan, graduan FORTRAIN merupakan barisan hadapan dalam ekosistem pengurusan dan perlindungan hutan negara.

“Anda adalah benteng utama negara. Anda yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, melakukan rondaan strategik dan memastikan Hutan Simpanan Kekal diurus secara berkekalan dan berkesan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar graduan agar berani menyahut kepimpinan masa depan.

“Saya mahu melihat dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, ada dalam kalangan anda yang memimpin Jabatan Perhutanan Negeri atau menjadi suara utama perkhidmatan awam. Persoalannya, adakah anda bersedia?” katanya.

Mengulas agenda kementerian, Arthur menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan Tahun Pelaksanaan dan Pecutan, selaras dengan amanat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Tahun ini bukan lagi fasa untuk merencana. Ia adalah tahun pelaksanaan. Graduan FORTRAIN yang diraikan hari ini adalah ejen pelaksana utama kepada agenda tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, kemahiran yang dimiliki graduan membuka peluang luas bukan sahaja dalam sektor awam, malah sektor swasta, penyelidikan, ekopelancongan dan keusahawanan hijau.

“Di bawah payung ekonomi hijau, ilmu dan kemahiran anda kini adalah aset strategik negara yang bernilai tinggi,” katanya.

Menyentuh aspek teknologi, Arthur mengingatkan bahawa penggunaan inovasi perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan manusia.

“Teknologi seperti GIS, penderiaan jauh dan dron amat penting, tetapi secanggih mana pun teknologi, ia tidak bermakna tanpa kebijaksanaan manusia. Dron boleh memantau dari udara, tetapi anda yang bertindak di lapangan,” katanya.

Mengakhiri ucapan, Arthur mengingatkan graduan agar menjadikan integriti sebagai teras perkhidmatan.

“Jadikan integriti sebagai kompas utama. Disiplin, ilmu dan dedikasi mesti menjadi asas khidmat bakti anda demi kelestarian hutan negara dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Majlis berkenaan menandakan pentauliahan rasmi graduan Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2023–2025 dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2024–2025, sekali gus memperkukuh barisan modal insan sektor perhutanan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat