CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menahan operator ‘stesen telekomunikasi haram’ dalam satu operasi bersepadu di Genting Highlands selepas dipercayai menggunakan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) untuk menyebarkan SMS scam kepada orang ramai.
Menurut kenyataan media MCMC, kegiatan pemancaran BTS palsu itu dikesan hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan yang menemui gangguan komunikasi serta penghantaran mesej penipuan secara tidak sah kepada pengguna.
MCMC menjelaskan Fake BTS merupakan taktik jenayah telekomunikasi yang semakin berleluasa apabila sindiket menggunakan pemancar palsu untuk ‘memintas’ rangkaian sah dan menghantar SMS penipuan seolah-olah datang daripada institusi rasmi seperti bank, syarikat telco atau agensi kerajaan.
Mesej sedemikian lazimnya digunakan untuk memperdaya mangsa agar menekan pautan berbahaya, menyerahkan maklumat perbankan atau memasukkan kod pengesahan transaksi (TAC), sebelum wang dipindahkan secara tidak sah.
Susulan risikan teknikal tersebut, operasi lapangan telah dilaksanakan bersama sebuah syarikat telekomunikasi sebelum pasukan penguat kuasa MCMC pada 19 Januari lalu mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS di kawasan Genting Highlands.
Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS scam kepada mangsa, sekali gus membuktikan operasi itu dijalankan secara terancang dan bersifat jenayah terancang.
Dalam serbuan berkenaan, peralatan pemancar BTS palsu serta beberapa peranti kawalan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239, individu yang disabitkan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, kesalahan di bawah Peraturan 16 pula memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta integriti sistem telekomunikasi negara.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, selain melindungi pengguna daripada ancaman penipuan digital yang semakin canggih.
Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap SMS mencurigakan, tidak menekan pautan tidak dikenali dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej yang meragukan.



