KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan aduan disiplin terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa berbohong berhubung isu jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah tidak berasas, mengelirukan dan berpunca daripada kegagalan memahami perlembagaan serta proses tadbir urus gabungan politik.
Menurut Tun Faisal, dakwaan kononnya Muhyiddin melakukan kesalahan disiplin berkaitan rundingan struktur PN adalah salah faham terhadap kuasa eksekutif Presiden seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan BERSATU.
“Perlembagaan BERSATU dengan jelas memberi kuasa eksekutif kepada Presiden. Fasal 15.2.1 menetapkan Presiden sebagai pemimpin utama parti yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan dasar parti, manakala Fasal 15.2.2 memberi peranan kepada Presiden untuk memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa rundingan dan perbincangan Presiden BERSATU dengan pemimpin parti lain termasuk Presiden PAS adalah fungsi sah dalam kerangka kuasa eksekutif Presiden, tanpa memerlukan kelulusan awal MPT.
Tun Faisal turut menekankan bahawa pertemuan antara Presiden BERSATU dan Presiden PAS baru-baru ini hanyalah rundingan serta cadangan awal dan bukannya keputusan muktamad gabungan.
“Apa yang dibincangkan dan dipersetujui adalah cadangan yang hanya boleh menjadi keputusan rasmi selepas dibincangkan di peringkat jawatankuasa, diteliti dalam pre-council Presiden parti dan diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN atau MPT,” katanya.
Mengulas isu penstrukturan semula PN, Tun Faisal berkata kenyataan mengenai implikasi kedudukan Pengerusi PN dalam struktur baharu adalah analisis logik, bukannya pengumuman rasmi atau satu pembohongan.
“Kedudukan Pengerusi PN secara logiknya menjadi tidak relevan dalam konteks pembentukan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif. Menjelaskan implikasi logik struktur bukan satu pembohongan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tun Faisal mempersoalkan asas aduan disiplin tersebut yang menurutnya bersandar sepenuhnya kepada surat dalaman Presiden BERSATU kepada Presiden parti-parti anggota PN yang telah dibocorkan pihak tertentu.
Beliau berkata surat berkenaan bersifat dalaman, sulit dan hanya bertujuan untuk pertimbangan serta perbincangan lanjut, selain tidak pernah dikongsikan dalam platform rasmi parti.
“Hanya empat orang menerima surat tersebut, tiga Presiden parti dan salinannya kepada Timbalan Setiausaha PN. Dokumen dalaman yang dibocorkan dan ditafsir di luar konteks tidak boleh dijadikan asas tuduhan pembohongan atau kesalahan disiplin,” katanya.
Tun Faisal menegaskan aduan tersebut pada hakikatnya berpunca daripada kegagalan memahami kuasa Presiden, kegagalan membezakan antara rundingan dan keputusan muktamad, serta penyalahgunaan dokumen dalaman yang dibocorkan.
“Berdasarkan perlembagaan parti, Presiden bertindak dalam kerangka sah. Tuduhan berbohong terhadap beliau adalah tidak berasas dan bukan kesalahan disiplin atau undang-undang,” katanya.



