KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddon Yassin disaran untuk berhenti secara terhormat demi perpaduan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar mengingatkan Presiden Bersatu itu agar tidak mengorbankan PN demi nafsu peribadi mengekalkan kuasa.
“Letak jawatan pengerusi PN, tiba-tiba nak lead (ketuai) Majlis Presiden PN. Masalah tetap tak selesai.
“Perlembagaan PN bukan dokumen yang boleh diubah tafsirnya mengikut selera politik individu, apatah lagi demi mengekalkan pengaruh peribadi. Ia adalah kerangka amanah yang dibina untuk menjaga kestabilan gabungan dan kepentingan rakyat, bukan untuk memenuhi percaturan kuasa jangka pendek.
“Persoalannya mudah dan wajar ditanya secara jujur. Apakah munasabah apabila seseorang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, kemudian timbul pula cadangan supaya jawatan Pengerusi PN dimansuhkan, dan dalam masa yang sama individu yang sama dicadangkan untuk mengetuai Majlis Presiden PN, manakala Pas pula memimpin Majlis Eksekutif.
“Jika benar tujuan asal ialah untuk berundur dan memberi ruang, mengapa perlu diwujudkan susunan baharu yang akhirnya masih meletakkan individu yang sama di posisi paling berpengaruh?
“Ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dari sudut perlembagaan, malah mencetuskan persoalan besar dari sudut adab kepimpinan dan keikhlasan berorganisasi,” kata Sukri.
Menurut beliau, pergolakan yang berpanjangan tidak akan menyelesaikan apa-apa.
“Yang terhakis akhirnya bukan kedudukan individu, tetapi keyakinan rakyat terhadap PN sebagai sebuah gabungan yang stabil, berprinsip dan matang. PN tidak dibina untuk menjadi benteng melindungi kelompok tertentu atau alat menyelamatkan kepentingan sempit apabila tiba masa berundur.
“Jangan korbankan PN demi nafsu peribadi mengekalkan kuasa. Jangan jadikan perlembagaan sebagai perisai untuk mengabsahkan langkah yang bercanggah dengan semangat muafakat dan konsensus. PN jauh lebih besar daripada mana-mana individu.
“Jika benar kita ikhlas mahu melihat PN terus kukuh dan relevan, maka keberanian sebenar ialah tahu bila perlu berundur dengan bermaruah, bukan mencari posisi baharu untuk terus mengemudi dari belakang tabir.
“Berhentilah dengan cara yang terhormat. Demi perpaduan gabungan. Demi kestabilan politik. Demi kepentingan rakyat. Biarlah bahtera Perikatan Nasional terus belayar gagah, dipandu oleh prinsip, bukan digoncang oleh keinginan peribadi,” nasihat beliau.



