CYBERJAYA : Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan kesediaannya untuk berdepan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan tindakan Ahli Parlimen Jelutong merujuk beliau atas isu penggunaan istilah “rumah ibadat haram” dalam perbahasan Dewan Rakyat minggu lalu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Ahmad Fadhli berkata tindakan itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(C), selepas beliau didakwa menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan tersinggung.
Beliau bagaimanapun menegaskan istilah yang digunakan tidak merujuk kepada mana-mana rumah ibadat tertentu serta tidak bertujuan menghina mana-mana pihak.
“Tiada sebarang istilah yang boleh dikatakan saya merujuk kepada mana-mana rumah ibadat tertentu,” katanya.
Menurut beliau, istilah “rumah ibadat haram” adalah istilah yang lazim digunakan dalam perbahasan berkaitan isu perancangan dan kelulusan premis, serta pernah digunakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini tanpa pertikaian.
Ahmad Fadhli turut memberikan contoh soalan yang pernah dibangkitkan oleh wakil rakyat di DUN Selangor pada 2019 dan 2025 yang menggunakan istilah sama dalam konteks pemutihan rumah ibadat yang tidak mempunyai kelulusan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan dakwaan bahawa penggunaan istilah tersebut sebagai menghina adalah tidak tepat.
“Saya bersedia untuk menghadapi usul yang difailkan oleh YB Jelutong… dan saya amat yakin ia tidak akan berjaya,” katanya.
Terdahulu, MP Jelutong RSN Rayer memaklumkan beliau telah mengemukakan usul untuk merujuk Ahmad Fadhli ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa penggunaan istilah tersebut berpotensi menimbulkan ketegangan.



