Agihan petroleum Sabah wajar diperhalusi – Riduan

KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan digesa supaya menilai semula kaedah pengagihan hasil petroleum negara agar selari dengan peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, meskipun Sabah kini menerima lima peratus royalti petroleum seperti yang diperuntukkan di bawah PDA 1974, kadar tersebut masih belum menggambarkan sumbangan sebenar negeri itu kepada industri minyak dan gas negara.

“Jumlah ini tidak mencerminkan sumbangan besar Negeri Sabah dalam sektor minyak dan gas iaitu hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.

“MA63 ialah perjanjian penubuhan yang membahagikan kedaulatan, kuasa perundangan dan kawalan ekonomi dalam persekutuan Malaysia dan kekuatannya terletak pada penggabungannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah perlembagaan, tanah dan sumber asli berada di bawah bidang kuasa negeri dengan kedudukan ini wujud sejak 1963 dan kekal sehingga hari ini.

“Bagi Sabah, kuasa ini dilindungi lagi oleh perkara 95D yang menghalang undang-undang persekutuan mengenai perkara senarai negeri daripada terpakai tanpa Penerimaan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Riduan turut mengemukakan cadangan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai tambah industri getah tempatan, khususnya melalui penglibatan dalam sektor farmaseutikal.

“Saya mencadangkan Kerajaan agar dapat menambah nilai industri getah dengan menerokai industri getah yang baharu seperti pasaran farmaseutikal.

“Saya difahamkan serum getah mengandungi 1-2 peratus L-Qubrachitol. L-Qubrachitol pula komponen digunakan dalam industri farmaseutikal iaitu ubat-ubatan.

“Oleh yang demikian, saya mohon Kerajaan agar dapat menerokai pasaran ini sekaligus dapat mengangkat industri getah ke tahap lebih tinggi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat