Mesyuarat MT PN dijangka terbatal, empat Presiden parti akan adakan pertemuan berasingan pada waktu yang sama

PETALING JAYA,– Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung Khamis ini dijangka terbatal apabila empat presiden parti komponen sebaliknya akan mengadakan pertemuan berasingan pada tarikh dan masa yang sama, tetapi di lokasi lain.

Perkembangan itu dikaitkan dengan keperluan menyelesaikan terlebih dahulu perubahan struktur dan pindaan perlembagaan PN sebelum sebarang mesyuarat rasmi MT diadakan bagi mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan serta melantik penggantinya.

Menurut sumber, selepas mendengar penerangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua presiden parti komponen iaitu Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (Malaysian Indian People’s Party, MIPP), P. Punithan, bersetuju bahawa mesyuarat MT PN hanya wajar dibuat selepas cadangan perubahan struktur kepimpinan siap dan sedia dibentangkan.

Sumber Bersatu turut memaklumkan bahawa Muhyiddin telah bertemu secara peribadi dengan Dominic dan Punithan semalam untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai pertemuannya dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menjadi asas kepada beberapa persetujuan awal membabitkan hala tuju dan masa depan gabungan itu.

Kedua-dua parti itu dilaporkan menyokong hala tuju yang dicapai dalam perbincangan awal antara PAS dan Bersatu, termasuk cadangan pindaan perlembagaan serta penyusunan semula Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi PN.

Sebagai langkah awal, mesyuarat MT PN yang dinanti-nantikan itu dibatalkan dan sebaliknya ketua empat parti komponen PN akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin bagi menentukan “hala tuju” sebelum sebarang mesyuarat rasmi MT dipanggil semula pada tarikh dan masa baharu.

“Apabila kami sudah putuskan hala tuju, barulah kami akan panggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan,” kata Punithan seperti dipetik laporan media.

Dalam masa sama, pembatalan mesyuarat itu turut mencetuskan spekulasi bahawa kekosongan kepimpinan PN selepas peletakan jawatan Muhyiddin hanya dapat dimuktamadkan selepas persetujuan penuh dicapai antara semua presiden parti komponen.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan hanya mereka yang masih memegang jawatan dalam gabungan itu diundang ke mesyuarat MT, sekali gus menimbulkan polemik apabila beberapa tokoh utama Bersatu tidak disenaraikan.

Pertemuan ketua parti di kediaman Muhyiddin kini dilihat sebagai platform penting bagi meredakan ketegangan dalaman dan mengatur semula struktur kepimpinan PN sebelum keputusan rasmi diumumkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat