KUALA LUMPUR, — Tokoh akademik dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan bahawa jawatan Mursyidul Am PAS bukan sekadar simbol kerohanian atau penasihat, sebaliknya memiliki kuasa besar yang boleh diiktiraf sebagai amir atau ketua sebenar dalam organisasi parti.
Dr. Zuhdi, yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, berkata kekeliruan dalam kalangan ahli PAS mengenai kedudukan Mursyidul Am telah lama wujud, apabila ramai melihat sosok itu hanya sebagai lambang spiritual semata-mata.
“Saya sendiri terkejut bila dilaporkan ada Dewan Ulama PAS sebuah negeri pun berpendirian sedemikian,” katanya dalam tulisan panjang bertajuk Benarkah Mursyidul Am adalah Amir?.
Beliau turut menyentuh ulasan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menurutnya seolah-olah menggambarkan wujud dikotomi kuasa antara Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama, serta pendirian Mursyidul Am dianggap pandangan peribadi.
Zuhdi menjelaskan bahawa istilah amir berasal daripada kata a-ma-ra yang bermaksud memerintah atau mengarahkan, merujuk kepada ketua bagi sesuatu kumpulan dalam tradisi Islam.
Berdasarkan makna itu, katanya, apabila disebut amir bagi PAS, ia membawa pengertian ketua keseluruhan organisasi dan individu di bawah parti, lebih-lebih lagi PAS bukan sekadar parti politik tetapi sebuah Harakah Islamiyah.
Menurut beliau, walaupun gelaran amir tidak disebut secara literal dalam Perlembagaan PAS, jawatan Mursyidul Am mempunyai autoriti yang sangat besar berbanding jawatan lain dalam parti.
Beliau merujuk Perlembagaan PAS khususnya Fasal 9(1)(a),(b) dan (c), yang menyatakan bahawa Mursyidul Am bertanggungjawab mengetuai Majlis Syura Ulama, menetap serta mempengerusikan mesyuarat, dan mengambil langkah perlu bagi mengawasi serta memelihara dasar dan hukum PAS agar dipatuhi dalam seluruh kegiatan parti.
“Jelas sekali peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am ini bukan sekadar pengerusi mesyuarat,” tegas beliau.
Zuhdi menambah bahawa hanya Mursyidul Am diberikan kuasa mengeluarkan arahan dan perintah agar ketetapan Majlis Syura Ulama dipatuhi oleh organisasi dan individu di bawah PAS, termasuk perkara berkaitan pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar.
Malah beliau mencadangkan agar kelulusan Majlis Syura Ulama seharusnya menjadi amalan bukan sahaja untuk calon pilihan raya, tetapi juga calon-calon jawatan utama negara, kerana kepimpinan adalah amanah syarie yang tertakluk kepada ketetapan Islam.
Dalam mengulas kemelut Perlis, Zuhdi mempertahankan pendekatan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin, yang menurutnya mengambil kira kepentingan umum rakyat, kestabilan negeri serta prinsip syarak dalam mentaati pemerintah.
Beliau berpendapat bahawa mandat besar sepatutnya diberikan kepada Hashim bagi menyelesaikan kemelut tersebut, memandangkan kedudukan beliau sebagai ulama dihormati di Perlis.
Zuhdi turut meneliti kontroversi berkaitan Fasal 15A Perlembagaan PAS, selepas Hashim menyatakan keputusan memberhentikan keahlian tiga ADUN PAS Perlis belum muktamad.
Beliau mendakwa pindaan fasal itu dilakukan secara tergesa-gesa dalam Muktamar PAS kali ke-70 di Temerloh tanpa muzakarah mendalam Majlis Syura sebagaimana amalan veteran PAS dahulu.
Menurut Zuhdi, Fasal 15A mempunyai kelompongan besar kerana tidak menjelaskan badan mana yang berkuasa memutuskan seseorang wakil rakyat telah melanggar fasal tersebut.
Beliau menegaskan bahawa keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak bersifat muktamad, sebaliknya hanya Majlis Syura Ulama mempunyai keputusan terakhir sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 77.
Oleh itu, katanya, Majlis Syura Ulama adalah pihak paling layak menentukan keberhentian seseorang ahli badan perundangan, bukan PAS Pusat.
Dalam kesimpulannya, Zuhdi menegaskan bahawa tanggapan yang melihat Mursyidul Am hanya sebagai simbol kerohanian adalah tersasar kerana peranan dan tanggungjawab jawatan itu sangat besar dalam syarak dan Perlembagaan PAS.
“Peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am melayakkan posisi itu diiktiraf sebagai amir atau ketua,” katanya.



