KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas kemasukan ke Darjah 1 bagi murid 6 tahun ini bagi mengelakkan bebanan psikologi serta sekali gus mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan.
Menurut Anwar, beliau menerima cadangan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mencadangkan supaya ditiadakan ujian diagnostik itu.
“Ujian diagnostik, rasionalnya itu baik… kita nak sekurang-kurangnya ada sedikit sistem penilaian. Apakah anak-anak itu betul, punya kelayakan atau mampu kita tangguhkan untuk setahun lagi.
“Tapi saya setuju Menteri Pendidikan mencadangkan supaya ditiadakan ujian diagnostik itu.
“Tapi saya nak tekankan di sini, cadangan awal itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak itu masuk ke sekolah.Tetapi difikirkan nanti dia jadi diskriminatif. Maksudnya, ada anak ini kurang-kurangnya masuk Darjah 1 dan masuk prasekolah, dia tak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Jadi mungkin ada kesan psikologi.
“Oleh itu, ditiadakan, itu adalah cadangan Menteri Pendidikan, saya setuju supaya ditiadakan jadi dipermudahkan,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Jelas Perdana Menteri lagi, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, selain memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan ibu bapa.



