KUALA LUMPUR- MIC tiada masalah untuk kekal dalam Barisan Nasional (BN) jika parti itu diberikan kepastian mengenai kerusi pilihan raya yang akan ditandingi MIC pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi MIC Perak Tan Sri M Ramasamy berkata, kerusi pilihan raya untuk MIC adalah isu utama yang mencetuskan kemelut mengenai kedudukan MIC dalam BN ketika ini.
Memetik Utusan di Ipoh, beliau berkata, kerusi pilihan raya untuk MIC penting untuk parti itu bekerja mulai sekarang tanpa perlu menunggu saat akhir pilihan raya umum akan datang.
“MIC tiada masalah untuk kekal dalam BN cuma sekarang kami tidak tahu kerusi mana yang akan diberikan untuk kami masa pilihan raya nanti. Itu isu sebenarnya.
“Kalau Pengerusi BN boleh tetapkan kerusi pilihan raya yang mana untuk MIC, kami tiada masalah, kamI akan sokong BN,” katanya menurut akhbar itu.
Ramasamy berkata, kerana tidak dimaklumkan kerusi mana untuk mereka, ini menyebabkan MIC keliru dan tidak tahu di mana hendak bekerja.
Menurutnya, MIC perlu kerja dari sekarang dan tidak boleh menunggu saat akhir pilihan raya, yang akan menyebabkan satu lagi kekalahan untuk parti itu.
“Kerusi pilihan raya mustahak untuk parti namun sampai sekarang masih belum ditetapkan. Kalau Pengerusi BN boleh tetapkan (kerusi pilihan raya untuk MIC), mudah untuk Presiden saya, itu isunya, tiada masalah.
“Jadi saya cadangkan supaya Presiden MIC dan Pengerusi BN duduk berbincang mengenai perkara ini supaya dapat diselesaikan. Bukan MIC sengaja suka-suka hendak lari (keluar BN). Ini (kerusi pilihan raya) isunya, tak ada isu lain
“Semalam saya bersama Presiden MIC. Beliau sendiri mengakui MIC tiada masalah dengan BN cuma kita mahu tahu kerusi yang mana untuk kami. Kalau tak tahu di mana akan bertanding, macam mana kami hendak bekerja,” katanya.
Menurutnya, MIC tidak pernah melupakan kerjasama dengan BN yang sudah terjalin sejak berpuluh tahun.
Katanya, atas sebab itu walaupun berdepan pelbagai spekulasi, MIC masih bekerja dengan BN.
“Di Perak umpamanya, sampai sekarang kita masih kerja bersama BN. Kami gembira bekerja dengan BN kerana sudah lama kita bagaikan satu keluarga.
“Semua 24 Parlimen MIC di Perak sampai sekarang tetap bekerjasama dengan BN. Saya beritahu kepada ketua-ketua bahagian MIC supaya teruskan bekerja dengan BN.
“Saya juga gembira bekerja dengan Menteri Besar Perak. MIC gembira bekerjasama dengan BN kerana kita sudah lama sebagai satu keluarga,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap kerjasama antara parti teras dalam gabungan itu dapat diperkukuhkan namun tetap menghormati apa juga keputusan yang akan dibuat oleh MIC berhubung kedudukannya dalam BN.



