Isteri ketiga bekas PTD alami bisul kronik, tak boleh berdiri lama

KUALA LUMPUR – Isteri ketiga kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Salwani Anuar, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah seperti mana pengakuan dibuat suaminya yang terlebih dahulu dituduh di Mahkamah Sesyen berasingan.

Sebelum pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, peguam Fahmi Abd Moin mewakili tertuduh memohon untuk membenarkan anak guamnya duduk dalam kandang tertuduh kerana menghidap penyakit bisul kronik di paha menyebabkan tidak boleh berdiri lama.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang juga pengawal sebuah syarikat didakwa menerima wang hasil aktiviti haram iaitu RM50,000, RM7,000 dan masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan, menurut Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.

Wan Shaharuddin menawarkan jaminan RM30,000 hingga RM50,000 mengambil kira keseriusan kes dan syarat tambahan iaitu melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan serta pasport diserahkan ke mahkamah kerana terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri.

Bagaimanapun, Fahmi memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya suri rumah sambil menjalankan perniagaan atas talian selain masih dalam tanggungan suami yang turut berdepan pertuduhan sama.

“Anak guam saya baru melangsungkan perkahwinan dengan suami pada Ogos 2025 dan masih tiada cahaya mata. Anak guam juga tinggal sendirian di rumah sewa yang dibayar suami manakala kedua ibu bapa tinggal di Besut, Terengganu. Kedua ibu bapanya juga tidak bekerja kerana sudah berusia dan menjadi tanggungjawab anak guam menanggung perbelanjaan mereka.

“Tiada sebarang indikasi daripada rakan bijaksana (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa anak guam mempunyai risiko untuk larikan diri,” katanya.

Rosli kemudian membenarkan Salwani diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan seperti dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 9, untuk pengurusan bersama kes dihadapi suaminya dan sebutan semula ditetapkan pada 30 Mac depan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat