Usul Naik Had Umur Puteri UMNO 40 Tahun Terus Dibangkitkan, Keputusan Masih Tertangguh — Ketua Puteri UMNO Malaysia 

KUALA LUMPUR, — Cadangan menaikkan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun terus dibangkitkan saban tahun dalam persidangan, namun sehingga kini masih belum menerima keputusan muktamad daripada pengurusan tertinggi parti.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025, yang antara lain menekankan keperluan mendesak untuk memastikan kelangsungan dan survival Puteri UMNO dalam jangka panjang  .

Menurut beliau, usul berkenaan bukan muncul secara tiba-tiba dan tidak didorong oleh emosi, sebaliknya lahir daripada realiti perubahan landskap politik serta keperluan organisasi parti pada masa kini.

“Setiap tahun dalam persidangan ini, cadangan untuk menaikkan had umur Puteri UMNO kepada 40 tahun terus dibangkitkan. Namun sehingga hari ini, kita masih menunggu satu keputusan muktamad,” katanya dalam ucapan dasar tersebut.

Nurul Amal berkata, dunia politik hari ini telah banyak berubah dan Puteri UMNO perlu berani melakukan penyesuaian agar kekal relevan serta berdaya tahan untuk tempoh 25 tahun akan datang.

Beliau turut memberi peringatan bahawa tanpa perubahan dasar, parti berisiko kehilangan ramai tenaga dan bakat kepimpinan wanita muda yang telah dilatih serta digilap dalam Puteri UMNO, hanya kerana kekangan umur.

“Kami mahu memastikan pelapis yang telah dilatih tidak hilang begitu sahaja apabila mereka meningkat usia. Langkah ini penting bagi menjaga kesinambungan dan mengelakkan kerugian besar kepada parti,” katanya.

Sehubungan itu, Puteri UMNO berharap agar cadangan tersebut tidak lagi sekadar didengar, sebaliknya dipertimbangkan secara serius dan diputuskan dengan sewajarnya demi masa depan parti.

“Ini bukan soal legasi, tetapi soal survival Puteri,” tegas beliau dalam ucapan dasar berkenaan.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat