KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari memuji langkah berani Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang melepaskan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka bagi membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.
“Dr Akmal letak jawatan Exco Melaka kerana bantah kerjasama dengan DAP dalam kerajaan.
“Tahniah, inilah anak jantan. Bukan sembang kosong! kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuji tindakan Akmal.
Akmal hari ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan Exco Melaka namun ADUN Merlimau itu bagaimanapun tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda, seperti yang diramal sebelum ini.
Selain itu Akmal berkata, beliau mahu membuktikan dirinya tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa, dan tanah air.
“Saya nak beritahu kepada yang tanya saya lu siapa’ sebelum ini, saya nak jawab…gua’ ada maruah, `lu’ ada maruah atau tidak?
“Saya nak beri amaran kepada pihak selalu cakap tentang saya, yang selalu menekan Presiden Umno dan Ketua Menteri Melaka, (kini) apabila saya tidak berada dalam Exco…saya akan lawan kamu habis-habisan,” tegas Akmal.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), pada Khamis.



