Bersatu mungkin pecat Hamzah dalam masa terdekat? : laporan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin mungkin menjadi pe­mimpin terbaharu Parti Bersatu yang akan dipecat oleh Lembaga Dis­iplin parti itu.

Ini susulan, ketua-ketua bahagian dan beberapa pemimpin di Perak yang dikaitkan dengan Hamzah dikatakan telah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin kerana mengkritik pim­pinan parti.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh membangkitkan persoalan sama ada tindakan pecat, gantung atau panggilan ke Lembaga Disiplin yang dikenakan terhadap ‘kem Hamzah’ akan turut dibuat kepada Ahli Parlimen Larut itu.

Hashim berkata, mesyua­rat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka diadakan tidak lama lagi dan persoalan sama ada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berani mengambil tindakan serupa terhadap Hamzah akan menjadi tumpuan utama, lapor Utusan di Kangar.

Beliau berkata, landskap politik Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan berubah sekiranya Muhyiddin mengambil tindakan memecat atau memanggil Hamzah ke Lembaga Disiplin.

“Muhyiddin dan Bersatu sedar Hamzah sebagai Ketua Pembangkang merupakan tokoh penting dalam parti dan PN.

“Tindakan memecat Hamzah juga akan mendedahkan jumlah ketua bahagian yang menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Kita akan melihat sama ada Bersatu mampu bertahan atau sebaliknya dan kesannya terhadap PN juga besar,” katanya kepada akhbar itu.

Terdahulu, beberapa Ketua Bersatu Bahagian di Perak dan dua ahli Parlimen yang dikaitkan dengan Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin, susulan sidang akhbar yang berlangsung bulan lalu.

Antara yang dipanggil ialah Ketua Bersatu Bahagian Larut, Hassuandi Hamzah yang me­ngesahkan menerima surat panggilan Lembaga Disiplin. Selain itu, Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan, Padang Rengas, Gopeng, Tapah, Pasir Salak serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob turut dipanggil.

Bulan lalu, 14 daripada 24 Bahagian Bersatu di Perak menggesa Muhyiddin melepaskan jawatan, susulan kegagalan beliau menguruskan krisis dalaman parti.

Keadaan bertambah buruk selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung atas dakwaan melanggar Perlembagaan parti dan kod tatakelakuan.

Terbaharu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga me­nerima nasib sama.

Hashim berkata, di Perak sekurang-kurangnya 14 ketua bahagian menolak kepemimpinan Muhyiddin manakala kebanyakan pemimpin di Sabah juga tidak bersetuju.

Katanya, pemecatan Ham­zah akan memberikan kesan langsung kepada masa depan Bersatu dan kekuatan PN.

“Sekarang, jika dilihat siapa tokoh utama di sebelah pembangkang, ia adalah Hamzah. Jika diambil tindakan terhadap beliau juga, lihat apa akan berlaku,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kekal menerajui Bersatu walaupun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lalu.

Ketegangan dalaman Bersatu dijangka terus menjadi tumpuan dalam mesyuarat MPT yang bakal diadakan tidak lama lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat