Dulu tidak hormat PAS, sekarang gesa PAS hormat ketetapan parti komponen, Pemuda PAS sindir Bersatu

KUALA LUMPUR, — Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Afnan Hamimi Taib Azamudden, mengecam tindakan Bersatu yang didakwa tidak menghormati rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam beberapa keputusan politik penting sebelum ini.

Menerusi kenyataan di akaun Facebook beliau, Afnan mempersoalkan desakan pihak tertentu yang meminta PAS menghormati ketetapan parti-parti komponen berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baharu, sedangkan menurutnya prinsip menghormati rakan tidak diamalkan secara konsisten.

Beliau merujuk kepada tindakan Bersatu yang mengumumkan Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, sebagai calon tunggal Perdana Menteri tanpa rundingan dan persetujuan jelas daripada parti-parti rakan dalam PN.

“Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi PM, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan?” katanya.

Afnan turut mengkritik cara pengumuman tersebut dibuat secara terbuka dalam majlis rasmi yang dihadiri pemimpin parti-parti gabungan, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati rakan yang hadir sebagai tetamu.

“Umum pula di depan batang hidung kawan dalam majlis yang kamu jemput kawan datang jadi tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan?” soal beliau.

Selain itu, beliau mengaitkan isu berkenaan dengan krisis politik di Perlis, apabila beberapa wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan bersumpah (SD) yang membawa kepada kejatuhan Menteri Besar daripada parti rakan, yang menurutnya jelas mencerminkan pengkhianatan terhadap semangat setiakawan dalam gabungan.

“Masa orang parti kamu sign SD di Perlis baru-baru ini, menjatuhkan MB dari parti rakan, mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian dan ketetapan parti rakan?” katanya lagi.

Afnan menyifatkan sikap sedemikian sebagai tidak adil dan tidak konsisten, apabila tindakan yang menjejaskan rakan dianggap tidak memerlukan penghormatan, namun apabila melibatkan kepentingan sendiri, tuntutan supaya dihormati pula dibangkitkan.

Mengakhiri kenyataannya, beliau menegaskan bahawa prinsip asas dalam hubungan politik antara rakan gabungan adalah saling menghormati.

“Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Simple,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat