KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kerisauan tentang keadaan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerisauan Erdogan itu susulan bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media Malaysia, selepas mengadakan pertemuan dengan Erdogan baru-baru ini.
“Presiden Tayyip Erdogan juga menanyakan tentang kesihatan Tun Dr Mahathir.
“Saya jelaskan sedikit daripada apa yang telah disampaikan oleh doktor dan beliau bersama-sama mengucapkan selamat serta mendoakan agar afiah dan keselamatan,” ujar Anwar memetik Astro Awani di Istanbul.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Erdogan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Dr Mahathir bagi bertanya khabar dan menyampaikan doa secara peribadi sekiranya keadaan kesihatan beliau bertambah baik.
Pada Selasa lepas, media melaporkan Dr Mahathir telah dirujuk ke IJN selepas terjatuh di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.



