“HER Series” oleh Nelissa Nizam – koleksi yang meraikan cerita dan keberanian seorang Wanita Sejati

Diasaskan oleh pelakon dan usahawan kreatif Nelissa Nizam, HER Series bukan sekadar sebuah jenama fesyen, tetapi satu platform penceritaan yang meraikan identiti, perjalanan dan kekuatan wanita dari pelbagai latar belakang. Koleksi terbaharu HER Series yang dipratonton secara eksklusif dalam acara High Tea bersama Nelissa Nizam bertempat di Royal Chulan, menandakan satu lagi bab penting dalam evolusi jenama ini  lebih matang, lebih berani dan lebih bermakna.

Penglibatan HER Series di pentas fesyen antarabangsa bukanlah sesuatu yang dirancang secara konvensional. Ia bermula secara spontan apabila Nelissa menerima jemputan untuk kembali ke pentas Kuala Lumpur Fashion Week melalui pereka fesyen Sodiqin Shaz, yang pernah terlibat dalam acara tersebut sebelum ini. Daripada satu jemputan, ia berkembang menjadi peluang kolaborasi yang akhirnya membawa HER Series ke pentas antarabangsa seperti Bali.

Bagi Nelissa, pengalaman ini bukan sahaja membuka mata terhadap kepelbagaian rekaan serantau, malah mengukuhkan keyakinannya terhadap visi HER Series.
“Semua ini berlaku tanpa perancangan rapi. Tapi mungkin di situlah rezekinya. Sokongan yang diterima sangat luar biasa,” ujar Nelissa.

Dalam membangunkan HER Series, Nelissa memilih untuk bekerjasama rapat dengan Sodiqin Shaz sebagai peneraju kreatif dan pereka utama jenama ini. Dengan pengalaman di pentas Kuala Lumpur Fashion Week serta projek fesyen antarabangsa, Sodiqin membawa kepakaran teknikal, disiplin rekaan dan perspektif moden ke dalam HER Series.

Nelissa berperanan sebagai pengasas dan pencetus naratif jenama, manakala Sodiqin menterjemahkan idea, emosi dan cerita setiap episod ke dalam rekaan yang praktikal dan boleh dipakai. Proses kreatif mereka dibina atas asas komunikasi terbuka, saling menghormati kepakaran serta kepercayaan terhadap peranan masing-masing.

Setiap rekaan melalui perbincangan mendalam melibatkan pelbagai pihak daripada pemilihan konsep, fabrik, potongan sehinggalah kepada visual kempen. Pendekatan ini memastikan HER Series mengekalkan identiti yang konsisten, tanpa mengorbankan kualiti dan integriti fesyen.

Keunikan utama HER Series terletak pada konsep koleksi berasaskan episod. Setiap episod membawa naratif berbeza, dengan muse dan definisi “HER” yang tersendiri. Episod pertama merupakan refleksi peribadi Nelissa sendiri seorang wanita dalam industri hiburan yang sering dilihat berani dan yakin, namun tetap berdepan dengan insekuriti yang bersifat manusiawi.

Episod kedua pula bakal menampilkan kisah wanita lain, selari dengan kepercayaan Nelissa bahawa setiap wanita mempunyai definisi ‘HER’ yang berbeza. Secara keseluruhan, HER Series dirancang untuk menghasilkan empat episod setahun, dengan pendekatan slow fashion yang menekankan ketelitian, kualiti dan penceritaan bukan pengeluaran secara besar-besaran.

Bagi koleksi terbaharu ini, warna merah dipilih sebagai warna utama. Ia bukan sekadar pilihan visual, tetapi simbol kepada keberanian, kekuatan dan transformasi diri.

“Merah melambangkan keberanian yang saya mahu keluarkan dari dalam diri. Tahun 2026, saya mahu jadi lebih kuat, lebih berani dan lebih berkuasa,” jelas Nelissa.

Pemilihan warna ini juga mencerminkan mesej koleksi wanita boleh tampil yakin dan berkuasa tanpa menafikan sisi rapuh dan realistik dalam diri mereka.

Dari segi rekaan, HER Series menampilkan siluet ready-to-wear yang versatil, sesuai untuk kehidupan seharian wanita moden  ke tempat kerja, acara sosial mahupun aktiviti santai namun diperkaya dengan fabrik premium dan potongan yang lebih kemas.

Fokus utama koleksi ini terletak pada pemilihan fabrik yang dibuat dengan sangat teliti, digabungkan dengan potongan yang bersih dan tidak berlebihan, serta rekaan yang mudah digayakan tanpa kelihatan rumit, menjadikannya sesuai untuk wanita moden yang mahukan pakaian yang praktikal tetapi tetap kelihatan kemas dan berkelas.

“Kami mahu orang rasa mereka nak pakai rekaan ini. Ia tidak terlalu eksperimental, tetapi tetap elevated,” kata Nelissa.

Harga koleksi berbeza mengikut rekaan dan material, dengan item seperti blazer berada dalam julat premium sejajar dengan penggunaan fabrik eksklusif dan penghasilan terhad.

Walaupun buat masa ini HER Series menawarkan saiz standard, Nelissa berkongsi impian jangka panjang untuk menjadikan jenama ini lebih inklusif, merangkumi pelbagai bentuk badan, warna kulit dan latar belakang wanita.

“Saya mahu HER Series benar-benar untuk semua wanita. Itu impian saya,” katanya.

Bagi Nelissa, HER Series bukan sekadar jenama atau projek kreatif sementara. Ia adalah satu misi untuk berkongsi cerita, membina keyakinan dan memberi inspirasi kepada wanita yang berada di fasa kehidupan berbeza.

“Setiap orang berada di episod hidup yang berlainan. Hari ini mungkin episod satu, esok mungkin episod empat. Dan semua itu tidak mengapa.”

Dengan sokongan pasukan kreatif dalaman yang kukuh serta kolaborasi strategik bersama Sodiqin Shaz, HER Series kini melangkah ke hadapan sebagai jenama fesyen tempatan yang bukan sahaja bergaya, tetapi berjiwa dan bererti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat