KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Syerleena Abdul Rashid, mencadangkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh supaya meninggalkan UMNO sekiranya beliau benar-benar tidak bersetuju dengan hala tuju parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik menerusi akaun media sosialnya, Syerleena mempersoalkan dakwaan Akmal bahawa orang Melayu kini terhina di tanah air sendiri, sambil menegaskan tiada bukti kukuh yang menyokong kenyataan tersebut.
Menurut beliau, peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan dan Terengganu bukan sahaja tidak dikurangkan, malah ditambah setiap tahun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani. Katanya, layanan kerajaan semasa terhadap dua negeri majoriti Melayu itu jauh berbeza berbanding era pemerintahan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun daripada parti yang sama dengan Akmal, yang menurutnya bersifat mendiskriminasi.
Syerleena turut menyentuh soal hal ehwal Islam, dengan menyatakan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meningkat sehingga berbilion ringgit, selain pelbagai inisiatif lain yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu masyarakat Melayu dan Islam.
Mengulas isu penghinaan terhadap Melayu dan Islam, beliau mengakui kes sedemikian memang berlaku, namun menegaskan setiap kes telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Syerleena mencabar mana-mana pihak untuk mengemukakan satu contoh penghinaan terhadap Melayu dan Islam yang tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berpandangan UMNO tidak wajar menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan kerana kewujudan parti itu dalam kerajaan disifatkan memberi nilai tambah kepada pentadbiran negara.
“Kalau Akmal tidak setuju, lebih baik beliau keluar sahaja daripada UMNO dan sertai PAS. Bukankah itu jauh lebih baik?” kata Syerleena dalam video tersebut. – SuaraTV



