MARANG, — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memaklumkan bahawa PAS akan mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan kekosongan jawatan Pengerusi gabungan itu berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Menurut Abdul Hadi, PAS mempunyai beberapa nama sebagai pilihan untuk mengisi jawatan Pengerusi PN dan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat PN yang akan datang.
“PAS akan ambil alih kepimpinan PN. Kami ada beberapa nama sebagai pilihan. Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat PN akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Marang.
Kenyataan Abdul Hadi itu secara tidak langsung menolak spekulasi yang berlegar sebelum ini bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, akan dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Jawatan Pengerusi PN menjadi kosong selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Bersatu dan bekas Perdana Menteri, mengumumkan peletakan jawatannya semalam, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai hala tuju dan keseimbangan kuasa dalam gabungan pembangkang itu.- SuaraTV



