KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima taklimat daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkaitan perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan.
“Pertemuan Menteri Pertahanan bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (31 Disember).
“Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” maklum Facebook Sultan Ibrahim.
Sementara itu Khaled memaklumkan dalam sesi menghadap itu beliau melaporkan keadaan pertahanan negara termasuk perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia.
Taklimat ini dipercayai terkait Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.
Susulan siasatan itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik memangku tugas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.



