KUALA LUMPUR – Mohamad Hanifah Abu Baker meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan prinsip menghormati struktur, hierarki dan tatakelola organisasi PN.
“Saya mengambil maklum bahawa pelantikan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Pengerusi PN.
“Sehubungan itu, saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 1 Januari 2026,” kata Adun Labu itu dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Sementara itu, Hanifah turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan sepanjang beliau memegang jawatan tersebut.



