Muhyiddin kecewa PAS memilih jalan konfrontasi dengan Istana Perlis, tawar letak jawatan Pengerusi PN?

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan menawarkan diri meletak jawatan kerana berasa kecewa dengan tindakan PAS yang dilihat memilih pendekatan konfrontasi secara terbuka terhadap Istana Perlis, sehingga mencetuskan ketegangan berpanjangan dan mencalar imej PN di negeri berkenaan.

Menurut sumber dalaman PN, rasa tidak puas hati Muhyiddin memuncak susulan tindakan PAS berterusan menyerang Istana Perlis.

Sejak beberapa hari lepas PAS melahirkan pelbagai pandangan yang seolah-olah menyatakan Istana Perlis terlibat menjatuhkan Menteri Besar Perlis dari PAS kerana kepentingan projek.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa pemimpin PAS kemudian membuat kenyataan terbuka yang menyerang Istana Perlis, selain mengkritik Mufti Perlis yang mempertahankan kedudukan dan peranan Raja Perlis dalam krisis pentadbiran negeri.

Pendekatan sedemikian dianggap melangkaui adab politik serta bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan.

Kemelut itu berlanjutan apabila Istana Perlis memperkenankan pelantikan ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dari Bersatu sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, selepas hilangnya sokongan terhadap penyandang sebelum itu.

Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan budi bicara dan kehendak Istana selaras dengan Perlembagaan Negeri. Bagaimanapun, menurut sumber, Muhyiddin menjadi sasaran kritikan dan dipersalahkan oleh sebahagian pihak dalam PAS, seolah-olah pelantikan berkenaan merupakan keputusan politik PN atau Bersatu, walaupun hakikatnya ia adalah prerogatif Istana.­

Menurut sumber sama, Muhyiddin berpandangan bahawa pertikaian terbuka yang melibatkan tuduhan, sindiran dan serangan terhadap institusi Raja bukan sahaja memburukkan persepsi rakyat terhadap PAS, malah turut memberi kesan langsung kepada PN sebagai sebuah gabungan politik.

Sehubungan itu, beliau dikatakan telah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional sekiranya kepimpinannya dianggap gagal mengawal keadaan, meredakan ketegangan serta menyatukan semua parti komponen dalam gabungan tersebut.

Menurut sumber, tawaran itu disuarakan sebagai satu bentuk tanggungjawab moral dan isyarat bahawa PN tidak boleh dilihat berdiam diri atau berkompromi terhadap pendekatan politik yang bersifat konfrontasi dengan institusi Raja.

Muhyiddin turut mengingatkan semua pihak dalam PN supaya kembali menghormati Perlembagaan, menjaga adab politik serta menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan melalui saluran yang tertib dan berhemah demi kestabilan negeri serta keyakinan rakyat.

Sementara itu, sebahagian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berpandangan adalah lebih wajar PAS meninggalkan PN sekiranya parti itu terus berkeras dengan pendirian yang mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan dengan institusi Raja.

Menurut sumber, kumpulan pimpinan Bersatu tersebut turut menyuarakan harapan agar Muhyiddin kekal menerajui PN, memandangkan beliau merupakan pengasas gabungan itu dan masih dilihat mempunyai kewibawaan serta pengalaman untuk mengembalikan disiplin politik dan kestabilan dalaman PN.

Mereka berpandangan desakan supaya Muhyiddin berundur bukanlah penyelesaian kepada krisis sedia ada, sebaliknya hanya berpotensi mempercepatkan perpecahan dan melemahkan PN ketika gabungan itu berdepan tekanan awam serta cabaran politik dan pilihan raya akan datang.

Setakat ini, belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat berhubung tawaran peletakan jawatan tersebut, dan perkara itu difahamkan masih dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi PN.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat