Oleh Zihan Zari
PORT DICKSON – Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya melaksanakan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kampung Linggi melalui 22 projek di bawah lima skop utama inisiatif dalam tempoh yang ditetapkan.
JAS dalam kenyataan berkata lima skop merangkumi Pusat Advokasi Alam Sekitar, Sekolah Lestari, Masjid Lestari, Dewan Orang Ramai, Balai Raya Lestari, dan Gotong-Royong Lestari.
Program Serahan Projek KAM 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAS , Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar di Kampung Linggi dekat sini baru-baru ini.
“Inisiatif KAM merupakan usaha kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dari segi penambahbaikan kemudahan asas dan pengukuhan peranan komuniti dalam
kelestarian alam sekitar, ”kata kenyataan itu.
“Antara projek utama yang dilaksanakan ialah pemasangan sistem solar berkapasiti 9.3 kWp di Dewan Orang Ramai Linggi dan 18.6 kWp di Masjid Sheikh Jamaluddin Al-Linggi, yang dijangka memberikan impak dalam penjimatan kos bil elektrik tahunan sebanyak RM6,000 bagi dewan dan RM12,000 bagi masjid.
“Selain menjimatkan kos operasi, projek solar ini berperanan mendidik masyarakat tentang penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta amalan jimat tenaga sebagai sebahagian daripada pendidikan kelestarian yang dibawa oleh JAS, ”katanya.
“Salah satu pencapaian penting KAM JAS 2025 ialah penubuhan Pusat Advokasi Alam Sekitar, yang berfungsi sebagai pusat rujukan masyarakat mengenai pengurusan dan kelestarian alam sekitar.
“Hasrat penubuhan pusat ini adalah untuk memperkukuh usaha advokasi dan kesedaran awam, menyediakan ruang pembelajaran dan penyebaran maklumat , menjadi lokasi pelaksanaan program kelestarian JAS pada masa hadapan, memupuk pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam komuniti.
“Pusat ini akan dimanfaatkan oleh JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri Sembilan sebagai pusat latihan, advokasi dan penglibatan komuniti secara berterusan, ”kata kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah JAS, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar menegaskan bahawa pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat tidak boleh sama sekali dikesampingkan.
Beliau berkata JAS bukan sahaja berperanan sebagai penguat kuasa, tetapi juga sebagai pendidik, pemudah cara dan rakan strategik komuniti.
Ujarnya, pelaksanaan KAM membuktikan usaha JAS mendekati masyarakat melalui pendidikan, teknologi hijau, pemerkasaan komuniti dan amalan kelestarian yang inklusif dan mampan, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.
“JAS berharap kerjasama baik antara komuniti dan agensi pelaksana dapat diteruskan dalam program masa hadapan, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, dengan pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi ini, Kampung Linggi diyakini berpotensi menjadi model rujukan kepada kampung lain yang bakal melaksanakan KAM pada masa akan datang. – SUARA.TV



