Mufti Perlis ingatkan PAS jangan ubah agama ikut kehendak politik

KUALA LUMPUR, — Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, melontarkan kritikan terbuka dan keras terhadap PAS berhubung sikap yang disifatkannya tidak konsisten dalam mengaitkan agama dengan politik, khususnya apabila ditegur supaya mengemukakan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan.

Menerusi satu tulisan terbaharu di media sosial, Dr. Asri mempersoalkan reaksi PAS yang menurutnya menolak teguran berasaskan prinsip agama dengan alasan bahawa seorang mufti hanya perlu bercakap soal agama dan tidak mencampuri urusan politik.

“Apabila saya kata ‘Jika buat tuduhan, nyatakan bukti supaya tiada yang menjadi mangsa’, kamu kata ‘Mufti cakap agama sahaja, jangan cakap hal politik. Kalau nak cakap, sila masuk bertanding’,” tulis beliau.

Menurut Dr. Asri, pendirian tersebut bercanggah dengan sikap PAS sebelum ini yang sering menegaskan bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, malah pernah melabelkan pihak yang berbeza pandangan sebagai kafir.

“Semalam kamu kata agama dan politik tidak boleh berpisah. Kamu kata ‘sesiapa yang memisahkan agama dan politik maka dia menjadi kafir’.

Maka dalam sejarah kamu, begitu ramai yang telah menjadi mangsa kafir mengkafir atas teori tersebut. Hari ini lain pula bunyinya,” katanya.

Mufti Perlis itu turut menegaskan bahawa larangan membuat tuduhan tanpa bukti merupakan prinsip asas dalam Islam, dan tidak seharusnya diubah atau diketepikan demi kepentingan politik semasa.

“Larangan membuat tuduhan tanpa bukti itu kan larangan agama? Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu?” soal beliau, sambil mempersoalkan apakah bentuk agama yang sebenar diperjuangkan oleh PAS.

Menurut beliau, penggunaan agama secara selektif untuk mempertahankan pendirian politik bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjadikan agama sebagai alat kuasa dan tekanan.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai teguran paling lantang Dr. Asri terhadap PAS setakat ini, khususnya dalam konteks ketegangan politik semasa yang melibatkan krisis di Perlis dan perdebatan mengenai peranan agama dalam wacana politik.

Setakat ini, PAS masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab kritikan terbuka Mufti Perlis itu.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat