UMNO Bahagian Kangar ucap tahniah kepada Abu Bakar Hamzah, harap kestabilan politik Perlis dipelihara

KANGAR — Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menzahirkan ucapan tahniah kepada Abu Bakar Hamzah atas pelantikan dan angkat sumpah beliau sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, sambil mengharapkan amanah besar itu dipikul dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Dr Fathul Bari berkata pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis wajar disambut dengan doa dan harapan agar kepimpinan baharu itu mampu membawa kestabilan serta tumpuan kepada urusan pentadbiran dan pembangunan negeri.

Beliau turut menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail atas kebijaksanaan serta perkenan Baginda dalam menyempurnakan pelantikan tersebut, yang menurutnya telah membantu meredakan kemelut politik negeri dan mengembalikan kestabilan pentadbiran.

Menurut Dr Fathul Bari, Perlis memerlukan kepimpinan yang memberi keutamaan kepada kerja dan khidmat kepada rakyat, bukan terus terperangkap dalam percaturan politik dan retorik yang berpanjangan. Beliau berpandangan episod politik yang berlaku sebelum ini wajar dijadikan iktibar agar kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, setiap langkah dan keputusan pentadbiran hendaklah dibuat dengan penuh rasa hormat serta sentiasa menjunjung kedaulatan Raja Perlis sebagai payung kestabilan negeri.

Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan Perlis perlu digerakkan berasaskan perancangan yang jelas, tadbir urus yang telus dan bersih, serta keutamaan yang berpaksikan kepentingan rakyat secara menyeluruh, bukannya kepentingan sempit mana-mana pihak atau kelompok politik tertentu.

Mengakhiri kenyataannya, Dr Fathul Bari berharap agar amanah sebagai Menteri Besar dapat dilaksanakan dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab demi memastikan Perlis kekal stabil, maju dan sejahtera.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat