Oleh Zihan Zari
SEOUL – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) berhasil membuktikan keupayaan institusi di bawah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di peringkat antarabangsa apabila dua pasukan inovasinya mengharumkan nama negara, berjaya meraih pelbagai anugerah berprestij pada Seoul International Invention Fair (SIIF) 2025 yang berlangsung dekat sini baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan PSIS memaklumkan pasukan pertama PSIS mempertandingkan inovasi bertajuk ‘PlantScape Apps for Residential 2.0’ yang dibangunkan oleh Ts. Dr. Naeemah Yusof, Mohamad Azrin Ramli, Nur Amisha Danian, Nur Yasmin Yaaman, Nurul Aina Saleh dan Muhammad Khairul Anam Ismail.
“Inovasi tersebut berjaya meraih Silver Award pada SIIF 2025 selain menerima ASAMCO Special Award (Switzerland) serta TIA Special Award (Taiwan).
“Manakala pasukan kedua PSIS telah mempertaruhkan inovasi ‘A-Port Simulation: Inclusive Airport Experience With Interactive Navigation’ yang dibangunkan oleh Nurul Dafiqah Kamarulzaman, Nur Shahirah Mat Sharf, Hashim A Rahim @ Abd Rahman, Muhammad Syafiq Abdul Ghafar dan Dr. Siti Dianah Abdul Bujang.
“Pasukan ini berjaya memenangi Gold Award pada SIIF 2025 selain meraih The Best Invention Award (FIRI, Iran) dan VIFOTEC Special Award (Vietnam).
“Kejayaan berganda ini mencerminkan komitmen berterusan PSIS dan POLYCC dalam memperkasa ekosistem inovasi, selari dengan pendigitalan pendidikan dan pembangunan bakat TVET bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama PSIS dan mengangkat martabat POLYCC serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia di persada global, selain membuktikan keupayaan warga institusi pendidikan negara dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi dan berdaya saing, ”kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PSIS Haslinda Abd Hamid berkata kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PSIS dalam memperkasa budaya inovasi dan penyelidikan di bawah ekosistem POLYCC.
“Pencapaian di peringkat antarabangsa ini membuktikan keupayaan warga PSIS dalam mencipta inovasi berimpak tinggi serta berdaya saing global, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pemerkasaan TVET negara sekaligus membuktikan TVET bukan pilihan kedua,”ujarnya. – SUARA.TV



