PAS pecat tiga ADUN yang tarik sokongan kepada MB Perlis, buka laluan kepada PRK

KANGAR, — PAS mengambil tindakan memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis yang didakwa menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, sekali gus mencetuskan implikasi besar terhadap kestabilan politik negeri dan membuka kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam kenyataan media rasmi PAS Pusat hari ini, parti itu memaklumkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada Rabu memutuskan untuk memberhentikan serta-merta keahlian tiga wakil rakyat berkenaan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga ADUN terbabit ialah YB Tuan Haji Saad bin Seman (Chuping), YB Tuan Fakhrul Anwar bin Ismail (Bintong) dan YB Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim (Guar Sanji).

Menurut kenyataan itu, PAS akan memaklumkan ketetapan berkenaan secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022, yang berkaitan dengan kedudukan kerusi wakil rakyat yang terhenti keahlian partinya.

Langkah disiplin tersebut berlaku di tengah krisis politik negeri susulan laporan bahawa lapan ADUN Perikatan Nasional telah menghantar akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Menteri Besar. Daripada jumlah itu, lima ADUN dilaporkan daripada Bersatu manakala tiga daripada PAS.

Untuk rekod, Perikatan Nasional menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis hasil Pilihan Raya Umum Negeri lalu, dengan PAS memenangi sembilan kerusi dan Bersatu lima kerusi. Majoriti besar itu sebelum ini dilihat menjamin kestabilan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu ini mencetuskan persoalan mengenai kedudukan sebenar sokongan terhadap Menteri Besar serta kesan langsung terhadap komposisi Dewan Undangan Negeri. Pemerhati politik berpandangan, sekiranya kerusi tiga ADUN berkenaan diisytiharkan kosong, ia berpotensi membawa kepada PRK dan menjadi ujian penting kepada sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional di Perlis.

Kenyataan media PAS Pusat itu ditandatangani Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bertarikh 3 Rejab 1447H bersamaan 24 Disember 2025.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat