Umno wajar pertimbang kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, serah jawatan – Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR – Umno sepatutnya memikirkan semula kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya beranggapan apa yang berlaku dalam kes titah addendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang serius bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, para pemimpin parti itu juga perlu menyerahkan kuasa atau jawatan yang disandang mereka di dalam Kerajaan Perpaduan atas alasan yang sama.

Menurut bekas Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan, ini bagi memastikan Umno kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam politik negara dan tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik lain.

“Umno ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, ikut dan patuh.

“Jika tidak, tidak ada maknanya perjuangan Umno selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk (jawatan),” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang dalam sidang akhbar di kediamannya di Jalan Langgak Golf pada Rabu.

Dalam pada itu memetik MalaysiaGazette, Tengku Razaleigh atau dikenali Ku Li itu turut melahirkan rasa hairan mengapa pemimpin Umno sehingga kini tidak mengadakan sidang peringkat tertinggi bagi membincangkan mengenai kes titah addendum melibatkan Najib tersebut.

Menurut beliau, pemimpin Umno sepatutnya menggerakkan usaha dan ikhtiar supaya penahanan Najib mesti mendapat satu resolusi yang memuaskan hati semua pihak bukan hanya ditanggung bersendirian oleh bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Kita tertanya-tanya mengapa sidang ini tidak berlaku untuk pemimpin UMNO mengkaji kedudukan mereka (dalam Kerajaan Perpaduan) susulan keputusan mahkamah.

“Sidang ini supaya Umno dapat membincangkan keputusan yang perlu diambil sebagai sebuah parti yang turut membantu penubuhan kerajaan hari ini, yang mana tanpa sokongan ahli-ahli Parlimen Umno,
kerajaan hari ini tidak mungkin wujud,” katanya.

Tambah beliau, ikhtiar juga mesti dijalankan oleh pemimpin Umno termasuk mendapatkan pengampunan buat Najib daripada Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa, hak mutlak dan prerogatif untuk melaksanakannya atas budi bicara dan pertimbangan kemanusiaan.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru ahli-ahli Umno peringkat cawangan dan bahagian tidak berdiam diri, sebaliknya turut menzahirkan rasa kecewa dan hampa disebabkan tidak adanya usaha di peringkat kepimpinan Umno Pusat dalam usaha mendapatkan pengampuan Najib tersebut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat