KUALA LUMPUR- Seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era COVID-19 kini berada dalam fokus siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan BH difahamkan, bekas pemimpin terkenal itu dan pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu itu, kini turut berada dalam radar siasatan ekoran dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat dalam sebuah kementerian.
Siasatan SPRM ketika ini adalah membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.
Turut difahamkan, tindakan itu mempunyai unsur-unsur rasuah dan penyelewengan, malah melalui maklumat terbaharu yang dilaporkan oleh orang awam itu, menyebabkan SPRM membuka kertas siasatan, biarpun bekas pemimpin itu sudah lama tidak berkhidmat dalam kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan terbaharu mengenai kes itu.
Beliau turut mengesahkan, beberapa individu penting akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Ya saya sahkan dan akan memanggil beberapa individu dalam siasatan itu,” katanya menurut akhbar itu.
Sementara itu, laporan NST menyebut, SPRM memperoleh “maklumat perisikan baharu” pada penghujung bulan lalu, iaitu hampir sedekad selepas penyelewengan itu berlaku.
Sumber berkata, selain siasatan terhadap proses pemindahan sebidang tanah milik kerajaan, SPRM juga menyiasat projek pembinaan papan iklan pengiklanan yang dilakukan kementerian itu.
Katanya, siasatan kini masih dijalankan bagi meneliti hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat.
Sumber juga berkata, siasatan awal mendapati kes ini mencecah “jutaan ringgit.”
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM sedang dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan. Ia juga akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan.
“Siasatan membabitkan kepentingan awam dan menjadi punca SPRM meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.
“SPRM juga percaya kes itu berpotensi membawa kepada pemulihan kerugian yang berkaitan dengan ketirisan aset dan dana awam,” katanya.



