KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa menjelaskan mengapa bapanya memohon semakan kehakiman untuk mengesahkan kewujudan dan pelaksanaan titah addendum bagi tahanan rumah.
Menurut Nooryana, ia bukanlah pilihan utama beliau untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
Katanya, Najib awalnya mahu menyelesaikannya secara tertutup, melalui cara diplomatik, tanpa perhatian umum.
Ujarnya, bekas Presiden Umno itu memahami sensitiviti isu ini dan tidak mahu meletakkan mana-mana pihak dalam keadaan sukar, termasuk kerajaan.
“Namun, selepas 3 bulan berusaha mendapatkan maklumat dan menulis kepada kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Perdana Menteri, Najib tidak berjaya memperoleh jawapan yang diperlukan. Surat-surat beliau tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Pada tahap ini sekalipun, beliau masih keberatan untuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana beliau sedar bahawa apabila ia didedahkan kepada umum, sensitiviti akan timbul memandangkan sudah wujud cubaan untuk menyembunyikan kebenaran.
“Sejauh mana pihak-pihak yang tidak mahu addendum tersebut didedahkan akan bertindak bagi memastikan hak Najib tidak diberikan dan dalam proses itu, mencabar tonggak-tonggak asas negara kita? soalnya.
Kata Nooryana, membawa kes addendum ini ke mahkamah merupakan jalan terakhir beliau.
“Ia adalah satu proses yang panjang (hampir 2 tahun) dan berlarutan penangguhan, pengurusan kes, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman serta proses rayuan. Semuanya hanya untuk diberitahu oleh mahkamah bahawa addendum diraja itu wujud tetapi tidak sah.
“Sekiranya pihak berkuasa berkaitan membalas surat-menyurat Najib pada Januari / Februari 2024 dengan menyatakan ya, kami menerima satu titah diraja tetapi kami tidak percaya ia boleh dikuatkuasakan atas sebab-sebab tertentu ia sudah tentu dapat menjimatkan masa Najib serta kos yang terpaksa ditanggung untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
“Saya juga sangat percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak akan mengeluarkan titah baginda tanpa nasihat Peguam Negara.
“Tambahan pula, addendum tersebut ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu. Jika tindakan Agong tidak selaras dengan undang-undang atau Perlembagaan, sudah pasti sebagai Peguam Negara, anda akan menasihati baginda sebaliknya dan mencari alternatif lain,” ujarnya.
Nooryana mendakwa, kes ini telah menunjukkan bahawa apabila tiada pihak yang mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka pelbagai komplikasi akan timbul.
“Emosi akan memuncak. Kekecewaan yang terpendam akan meletup. Mengawalnya dengan hanya meminta ketenangan dan kesabaran tidak akan meredakan keadaan.
“Najib sentiasa berpegang teguh untuk menghadapi segala cabaran secara berprinsip. Beliau menganggap bahawa pilihan untuk melarikan diri daripada apa yang beliau ketahui sebagai penganiayaan politik adalah satu tindakan pengecut.
“Oleh itu, beliau tekad untuk memastikan namanya dibersihkan daripada sebarang salah laku.
“Saya yakin bahawa walaupun beliau amat kecewa, beliau akan terus berjuang dengan sepenuh kudratnya demi menegakkan keadilan.
“Sebagai seorang anak, apa yang mampu saya doakan hanyalah agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 72 tahun ini, supaya beliau dapat menghadapi segala cabaran dengan fikiran yang jernih dan hati yang tabah,” ujarnya.



