Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah dilantik sebagai Naib Canselor UUM baharu berkuat kuasa 16 Disember 2025.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan Dr. Ahmad Martadha, 57, merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat.
Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Indiana State University, Amerika Syarikat sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari Southern Illinois University.
“Dr. Ahmad Martadha berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus universiti dan pernah dilantik ke beberapa jawatan strategik di UUM termasuklah sebagai Dekan Pembangunan Pelajar, UUM dari tahun 2005 hingga 2008.
“Selain itu, Dekan (Pembangunan Pelajar & Keusahawanan), dan Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti, Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM antara 2005 hingga 2013, ”kata kenyataan itu.
“Kementerian yakin, kepakaran Dr. Ahmad Martadha dalam bidang pentadbiran awam serta pengalaman menerajui institusi di pelbagai peringkat, beliau mampu menerajui UUM dan memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh budaya pemindahan ilmu serta merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, ”katanya.
Dalam kenyataan yang sama, KPT turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa bakti beliau menerajui UUM sebelum ini.-SUARA.TV



