KUALA LUMPUR – Setiap pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perlu mengisytiharkan aset masing-masing bagi memastikan mereka ‘bersih’ daripada sebarang isu salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sekiranya mana-mana pegawai dan anggota gagal berbuat demikian, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib berdasarkan peruntukan sedia ada.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan memperkukuhkan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meningkatkan integriti pegawai dan anggota.
“Mereka tahu keperluan untuk mengisytiharkan aset masing-masing.
“Sekiranya kita dapati apa diisytiharkan tidak sama dengan mereka miliki, saya akan ambil tindakan tatatertib seperti memberi amaran, turun pangkat atau gantung kerja,” lapor Utusan pada Jumaat
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang dikesan gagal mengisytiharkan hartanya dalam mana-mana operasi SPRM mahupun Bahagian Integriti AKPS kerana ia merupakan satu kesalahan.
Dalam isu integriti membabitkan sindiket ‘counter setting’, beliau berkata, kerjasama lebih kukuh dengan SPRM akan dilaksanakan bagi menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.
“Saya secara peribadi sudah mengingatkan kepada semua (pegawai dan anggota AKPS) jika kena (ditahan dan disiasat) SPRM ke atau dengan mana-mana Bahagian Integriti AKPS, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Mohd. Shuhaily mengakui terdapat isu-isu disiplin yang berlaku dalam kalangan pegawai dan anggota AKPS namun perkara itu sedang ditangani pihaknya.
Katanya, antara perkara yang sedang dirangka adalah prosedur operasi standard (SOP) penugasan pegawai dan anggota AKPS di lapangan yang dilihat sebagai satu langkah untuk meningkatkan disiplin warganya.
“Dalam beberapa perjumpaan dengan pegawai di lapangan, apabila ditanya kenapa isu-isu ini timbul, mereka kata ia telah berlaku untuk jangka masa lama tetapi tidak ditangani.
“Jadi ada beberapa faktor yang dimaklumkan kadang-kadang menyebabkan penguatkuasaan atau penyeliaan itu tidak dapat dilakukan secara tuntas.
“Justeru, sekarang ini kita sedang dalam usaha untuk memastikan ada satu tindakan disiplin yang lebih ketara kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.



