KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berlapang dada menerima keputusan PKR merehatkan beliau daripada jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka.
“Saya menghormati sepenuhnya keputusan Biro Politik PKR yang dibuat mengikut Perlembagaan dan tradisi parti.
“Pelantikan Adam Adli Abd Halim sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka adalah langkah bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran gerak kerja parti di peringkat negeri.
“Saya akan terus memberi tumpuan memperkukuh cabang serta menyumbang kepada kekuatan PKR Melaka secara keseluruhan,” kata Ketua Cabang Hang Tuah Jaya itu dalam kenyataan pada Selasa.
Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu menyatakan, beliau memberi sokongan penuh kepada Adam Adli dalam menjalankan amanah sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka dan percaya beliau mampu memimpin dengan baik.
Menurut Shamsul Iskandar lagi, fokus utama adalah memperkukuh organisasi parti, menyusun jentera, dan memastikan PKR terus relevan serta dekat dengan rakyat Melaka. Sementelahan pula tahun 2026 akan dilangsungkan Kongres Parti dan juga Pilihan Raya DUN Melaka.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru pimpinan kekal muafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa serta simpang siur serangan bertubi-tubi bertujuan untuk menggugah kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Angkut-angkut terbang ke langit, mati disambar anak merbah, biar bertangkup bumi dan langit, setia saya takkan berubah,” ungkap beliau.



