KUALA LUMPUR – Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mengingatkan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu dibentuk suapaya mengutamakan penyelesaian masalah keperluan asas rakyat, percepat projek tertangguh, dan pastikan bantuan benar-benar dirasai.
“Kabinet negeri dan pembantu-pembantu menteri telah dilantik. Sekarang masanya untuk bekerja demi Sabah.
“Rakyat menunggu hasil. Janji yang dibuat mesti ditunaikan dengan tindakan yang jelas.
“Cara bekerja mesti ikut kehendak rakyat turun padang, dengar masalah sebenar, dan bertindak dengan cepat.
” Pelaksanaan perlu dipercepatkan. Kurangkan kerenah birokrasi dan pastikan tindakan sampai kepada rakyat,” pesan bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Salleh turut menggesa, tuntutan 40 peratus mesti diselesaikan berdasarkan keputusan mahkamah.
“Ini tanggungjawab undang-undang yang perlu dihormati.
“Keutamaan ialah selesaikan keperluan asas rakyat, percepat projek tertangguh, dan pastikan bantuan benar-benar dirasai.
“Rakyat perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik. Demokrasi menuntut kita hormati keputusan rakyat dan tinggalkan sengketa lama.
“Ukuran sebenar ialah hasil, bukan janji. Rakyat mahu melihat perubahan dalam kehidupan seharian.
“Dengan kerja yang ikhlas dan fokus kepada rakyat, Sabah boleh terus maju,” kata Salleh.



