Cyberjaya: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat jelas bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meninggalkan gabungan itu perlu bersedia menanggung akibat jangka panjang, termasuk kemungkinan tidak diterima semula pada masa hadapan.
Beliau berkata keputusan keluar daripada BN bukan perkara remeh dan tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa atau didorong tekanan politik semasa.
“Kalau tinggalkan Barisan Nasional, tidak ada jalan pulang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) memetik laporan Free Malaysia Today.
Zahid turut mengingatkan supaya kepimpinan BN tidak didesak membuat keputusan terburu-buru berhubung hala tuju gabungan itu, sebaliknya memberi ruang kepada proses politik berjalan secara semula jadi.
“Jangan desak kepimpinan BM untuk buat keputusan…. Hanya masa akan menentukan kemana hala tuju kamu. (sama ada benar atau salah),” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat dalam suasana politik yang semakin dinamik, ketika wujud perbincangan dan spekulasi mengenai kedudukan beberapa parti komponen dalam BN, menjelang pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.
Zahid berkata perubahan dalam landskap politik negara adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan menasihatkan parti-parti agar tidak membuat keputusan yang kelak akan dikesali.
“Bacaan saya landskap politik akan berubah. Jangan menyesal sekiranya meninggalkan BN kerana perubahan landskap politik,” katanya lagi.
Walaupun tidak menyebut secara khusus parti yang dimaksudkan, kenyataan Zahid dilihat sebagai peringatan terbuka kepada semua parti dalam gabungan agar mempertimbangkan kepentingan jangka panjang sebelum membuat sebarang keputusan besar.



