Malaysia menunggu 34 tahun sebelum rebahkan Thailand di gelanggang sendiri

BANGKOK, — Penantian pasukan sepak takraw berpasukan lelaki Malaysia selama 34 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan SEA akhirnya berakhir dengan penuh dramatik dan luar biasa.

Malaysia mencipta sejarah gemilang apabila menewaskan gergasi dan musuh tradisi Thailand dengan keputusan 2-1. Lebih manis, kemenangan tersebut diraih di bumi Thailand sendiri dalam perlawanan yang berlangsung di Nakhon Pathom, Ahad.

Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja menamatkan kemarau emas sejak Sukan SEA Manila 1991, malah memberi tamparan simbolik kepada Thailand yang sekian lama mendominasi sukan sepak takraw di rantau ini.

Malaysia terlebih dahulu diuji apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas kepada gandingan tuan rumah dengan keputusan 15-9, 11-15, 15-13.

Namun, kekalahan awal itu gagal memadamkan api perjuangan skuad kendalian Ahmad Jais Baharunini.

Regu kedua negara bangkit dengan aksi penuh disiplin dan keyakinan apabila Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam mempamerkan permainan bertenaga untuk menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 17-14, 15-13, sekali gus menghidupkan semula harapan Malaysia.

Kemuncak perlawanan menyaksikan regu penentuan negara mempamerkan ketenangan dan ketajaman di saat genting. Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi tampil sebagai wira apabila menundukkan trio Thailand 15-13, 15-11 untuk mengesahkan pingat emas yang telah lama dinantikan. — SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat